HAYASHI menandatangani plak perasmian Pusat Honda 3S Wang Loo Motor.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) membuka Pusat Honda 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) terbaru di Taman Mutiara Rini, Skudai, yang dikendalikan Wang Loo Motor (JB) Sdn Bhd.

Pelancaran pusat 3S itu tepat pada masanya, sekali gus menambah baik dan melebarkan kapasiti dalam memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, pembukaan pusat itu secara rasminya menjadikan Honda Malaysia kini mempunyai 17 penjual sah dan empat Pusat Honda 4S (Jualan, Servis, Alat Ganti dan Cat) di wilayah selatan tanah air dengan 10 penjual sah dan tiga pusat 4S terletak di Johor.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mementingkan kepuasan dan keperluan pelanggan, malah sentiasa merangka pelan strategik bagi memastikan perkhidmatan pelanggan diberi perhatian.

“Antara langkah diambil adalah usaha berterusan memenuhi keperluan pelanggan termasuk perkhidmatan selepas jualan dan memenuhi jangkaan pelanggan.

“Sehubungan itu, pembukaan Pusat Honda 3S yang baru ini tepat pada masanya bagi meningkatkan keupayaan kami memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan,” katanya pada majlis perasmian Pusat 3S, di sini, semalam.

Pusat 3S baru itu menelan belanja RM22 juta dibina ditanah seluas 0.69 hektar dengan kelengkapan terkini mengikut piawaian Honda serta dikendalikan juruteknik berpengetahuan.

Hayashi berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kawasan selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mencatatkan jualan lebih 10,500 unit kereta Honda dengan Johor menyumbang sebanyak 70 peratus iaitu 7,300 unit.

Menurutnya, jualan di wilayah selatan menyumbang 20 peratus daripada jualan keseluruhan Honda Malaysia tahun ini.

“Ini menunjukkan peningkatan 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan Honda City kekal menjadi model pilihan utama di kawasan selatan dengan hampir 3,000 unit dijual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 8:25 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »