FARID (kanan) bersama Pengarah Kewangan Kumpulan NAZA World, Usman Ali (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan NAZA World, David Ting ketika pelancaran, semalam.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Naza Quest Sdn Bhd (Chevrolet Malaysia) pengedar rasmi jenama kenderaan Chevrolet di negara ini menyasarkan jualan 200 unit sehingga akhir tahun ini untuk trak pikap Colorado sempena varian baru X-Edition yang diperkenalkan, semalam.

Naib Presiden Naza Quest, Mohd Farid Rosli berkata, model trak pikap itu menyumbang 80 peratus jualan kepada syarikat dengan pasaran Sabah dan Sarawak paling tinggi permintaannya.

“Perkongsian pasaran trak pikap kami kini mencecah 15 hingga 20 peratus sejak model ini diperkenalkan pada 2015 dan ia disasarkan kepada mereka yang mahukan sebuah kenderaan lasak untuk tujuan gaya hidup,” katanya ketika pelancaran, semalam.

Tiga varian Colorado itu ialah Colorado X, Colorado X-Urban dan Colorado X-ADV menawarkan tambahan nilai astetik untuk disesuaikan dengan keperluan pembeli.

Dilengkapi enjin 2.5L Duramax diesel turbo dengan ciri Variable Geometry Turbocharger (VGT), ia mampu menghasilkan kuasa 180 hp pada 3,600rpm dan tork 440Nm serta padanan transmisi enam kelajuan automatik dan manual.

Menurutnya, Chevrolet Malaysia kini akan meluaskan pasaran dengan menumpukan kepada pusat dan sevis terutama di Semenanjung Malaysia dengan jumlah terkini 24 buah di bandar utama seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 9:48 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »