Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Volvo Car Malaysia Sdn Bhd kini menjadikan kilangnya di Shah Alam, Selangor sebagai hab pemasangan kenderaan plug-in elektrik hibrid (PHEV) untuk dieksport ke pasaran terpilih di Asia dengan pelancaran model Volvo S90 T8 Twin Engine, semalam.

Pengarah Urusannya Lennart Stegland berkata, Malaysia satu-satunya lokasi selain Sweden yang memasang kenderaan PHEV dimulakan dengan model XC90 T8 pada penghujung 2015 yang sudah dieksport ke Thailand.

“Model S90 T8 Twin Engine hasil pelan transformasi syarikat sebanyak AS$11 bilion untuk membangunkan platform Scalable Product Architecture (SPA) yang bakal diluaskan ke model Volvo lain tidak lama lagi,” katanya selepas majlis pelancaran berkenaan.

Kilang pemasangan yang memulakan operasi sejak 1967 dengan kemampuan menghasilkan 3,000 unit kenderaan setahun itu adalah hasil pelaburan berterusan Volvo dalam membangunkan fasiliti, pertukaran teknologi dan latihan sebagai antara pasaran penting untuk jenama itu di rantau ini.

Selain konsisten dalam mengembangkan keupayaan pengeluaran tempatan, ia juga bagi memenuhi permintaan terhadap jenama Volvo yang semakin meningkat di Asia Tenggara dan kawasan sekitarnya.

“Kami menyasarkan untuk mengeksport 5,000 unit dalam tempoh beberapa tahun akan datang daripada rangkaian penuh model Volvo di Malaysia ke Indonesia, Filipina, Taiwan, Thailand dan Vietnam dan kini mengintai peluang untuk menembusi pasaran di Laos dan Kemboja,” katanya.

Kedudukan Malaysia yang strategik di Asia Tenggara dan sokongan penuh daripada kerajaan serta agensi berkaitan yang bakal menjadikan negara ini sebagai hab Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) menjelang 2020 antara faktor yang menyumbang kepada komitmen Volvo di negara ini.

Langkah itu juga selaras dengan hala tuju dan strategi jenama itu dalam menyediakan kemudahan pemasangan lebih moden bagi menawarkan pelbagai model hibrid untuk semua kenderaan baru menjelang 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:10 AM
STEGLAND (kiri) dan Pengerusi Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Tan Sri Peter Chin Fah Kui menunjukkan model Volvo S90 T8 Twin Engine, semalam.
Teruskan ke laman Harian Metro »