ZULAMRAN (dua dari kiri) pada majlis penyenaraian Binasat di pasaran ACE Bursa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Binasat Communications Berhad (Binasat), syarikat penyedia perkhidmatan sokongan telekomunikasi satelit bakal meneroka pasaran Vietnam, Myanmar dan Laos sebagai langkah untuk meluaskan sayap perniagaannya di rantau ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Zulamran Hamat berkata, pihaknya kini sedang dalam peringkat perbincangan bersama pihak berkaitan di tiga negara terbabit sebelum bergerak ke langkah seterusnya.

Beliau berkata, untuk melaksanakan perniagaan di peringkat global memerlukan strategi perniagaan yang tepat kerana ia mestilah bersesuaian dengan tumpuan pasaran setempat.

“Penerokaan ke pasaran serantau bermula tahun ini adalah inisiatif pertama yang kami laksanakan memandangkan Binasat hanya mempunyai kurang satu peratus perniagaan antarabangsa.

“Kami kini sedang berunding dengan bakal rakan kongsi tempatan di negara masing-masing dan berharap dapat menubuhkan pejabat wakil syarikat sebagai permulaan pada tahun ini.

“Oleh kerana peraturan kerajaan yang ketat di tiga negara ini, kita perlu mencari rakan kongsi yang tepat untuk bekerjasama dan mematuhi segala peraturan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian Binasat di pasaran ACE Bursa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengarah Urusannya, Na Boon Aik; Pengarah Eksekutif, Na Bon Tiam serta Ketua Kewangannya, Ng Kok Meng.

Binasat memulakan tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM39.55 juta di pasaran ACE Bursa Malaysia pada kadar 60 sen dengan premium 14 sen di atas harga terbitannya bernilai 46 sen sesaham.

Selain itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu yang juga syarikat pertama disenaraikan di Bursa Malaysia tahun ini, mempunyai kadar lebihan langganan sebanyak 34.23 kali dengan sejumlah 7.2 juta saham berpindah tangan pada permulaan dagangannya.

Mengulas mengenai prospek syarikat, Zulamran berkata, pihaknya optimis untuk meneruskan pertumbuhan dalam semua sektor seperti satelit, gentian optik dan mudah alih bagi tempoh setahun hingga dua tahun akan datang.

“Masih ada segmen lain dalam pasaran yang belum kita terokai, jadi Binasat dijangka dapat mencatat pertumbuhan seterusnya dari segi perolehan kumpulan.

“Selain itu, ia juga adalah sejajar perbelanjaan modal kebanyakan syarikat telekomunikasi menerusi pemodenan spektrum oleh kerajaan serta inisiatif lain bagi meningkatkan liputan mudah alih di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 2:59 AM