Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Berhad (MAB) akan menyambung semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Brisbane, Australia bermula 6 Jun depan.

Penerbangan empat kali seminggu itu akan menggunakan pesawat A330-300 yang mempunyai kapasiti sehingga 290 tempat duduk dan akan beroperasi pada setiap Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Izham Ismail berkata, pihaknya perlu bertindak dengan cepat kepada tuntutan pasaran dan amat teruja kerana dapat memasukkan semula Brisbane ke dalam rangkaian perkhidmatannya.

Katanya, Brisbane terletak di lokasi yang strategik dan berdekatan dengan banyak destinasi pelancongan Queensland serta memudahkan pelan pertumbuhan yang memberi tumpuan kepada perniagaan utama dan bandar yang santai.

“Malaysia Airlines sudah bertapak di Queensland dalam tempoh yang lama sejak memulakan operasi kami ke Brisbane pada 31 Oktober 1990.

“Kami gembira kerana dapat kembali ke Brisbane dan menawarkan sambungan yang selesa kepada rangkaian global Malaysia Airlines,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pesawat dengan kod penerbangan MH135 akan bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 9.50 pagi dan tiba di Brisbane pada jam 7.55 malam pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:51 AM