ISHIYAMA (kanan) bersama Pembantu Ketua Projek Honda Civic Type R, Hideki Kakinuma melancarkan Honda Civic Type R di Pameran Auto Malaysia tahun lalu.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) mengumumkan prestasi 2017 yang luar biasa apabila merekodkan jualan 109,511 kenderaan tahun lalu, meningkat 19 peratus berbanding 91,830 pada 2016.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Toichi Ishiyama berkata, jumlah itu adalah yang tertinggi sejak penubuhan Honda Malaysia pada 2003.

Beliau berkata, pencapaian itu memberikan Honda memegang rekod jualan kenderaan paling banyak bagi kategori pengeluar kereta bukan nasional.

“Wilayah tengah menyumbang 47 peratus kepada jualan keseluruhan. Tahun lalu bermula dengan baik apabila kami berjaya mencapai pengeluaran 600,000 kenderaan melalui pemasangan tempatan (CKD).

“Pada penghujung tahun pula, maklumat dalaman kami menunjukkan penguasaan pasaran 19 peratus berbanding 91,830 unit pada 2016.

“Kami berjaya melepasi jualan 100,000 kenderaan setahun,” katanya.

Menurut Ishiyama, Honda Malaysia mahu mengekalkan tempat pertama bagi kategori pengeluar kereta bukan nasional dan kedudukan nombor dua bagi jumlah jualan kenderaan (TIV) keseluruhan dalam industri automotif negara.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama Honda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 1:01 AM