MUSTAPA Mohamed
Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@bh.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan perdagangan berjumlah RM1.774 trilion tahun lalu, meningkat 19.4 peratus berbanding RM1.486 trilion pada 2016, tertinggi dicatatkan dalam tempoh 13 tahun.

Eksport negara pada tahun lalu juga meningkat 18.9 peratus kepada RM935.39 bilion, berbanding RM785.93 bilion 2016, sekali gus pertumbuhan terpantas sejak 2005.

Import turut merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM838.14 bilion, meningkat 19.9 peratus berbanding tahun 2016.

Berikutan itu, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan RM97.25 bilion pada tahun dikaji, tertinggi dicatatkan sejak 2012 dan juga lebihan dagangan tahun ke-20 berturut-turut sejak 1998.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertumbuhan memberangsangkan itu disumbangkan perdagangan lebih tinggi dengan ASEAN yang berkembang 21 peratus.

Selain itu katanya, perdagangan dengan China meningkat 20.6 peratus atau RM49.68 bilion yang turut kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi sembilan tahun berturut-turut.

“Peningkatan ketara turut dicatatkan dengan Kesatuan Eropah (RM26.05 bilion), Amerika Syarikat (AS) (RM22.12 bilion), Jepun (RM17.77 bilion), Taiwan (RM15.33 bilion), India (RM12.74 bilion), Hong Kong (RM11.41 bilion) dan Australia RM10.06 bilion,” katanya ketika membentangkan prestasi dagangan Malaysia di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mengulas mengenai prestasi eksport tahun lalu, Mustapa berkata, ia memberangsangkan apabila mencatatkan pertumbuhan dua angka pada setiap bulan kecuali Jun dan Disember.

“Eksport bagi semua sektor juga merekodkan pertumbuhan dua angka dengan sektor perkilangan mendominasi jumlah eksport berjumlah RM767.64 bilion atau 82.1 peratus daripada keseluruhan eksport.

“Produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai eksport utama berjumlah RM343 bilion diikuti keluaran petroleum (RM71.99 bilion), kimia dan bahan kimia (RM68.58 bilion), produk getah (RM26.31 bilion) dan barangan besi dan keluli sebanyak RM12.56 bilion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 7:56 AM