WAN Kamaruzaman
Nurhayati Abllah
nurhayatiabllah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP menyasarkan peningkatan 70 peratus dalam saiz dana pelaburan berlandaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pada masa ini, saiz dana pelaburan ESG KWAP mencatatkan pertumbuhan 50 hingga 60 peratus dan ia akan ditingkatkan sehingga 70 peratus bergantung kepada kecairan ekosistem pasaran.

“Buat masa ini, tidak ada satu jangka masa yang boleh ditetapkan bagi mencapai sasaran itu, tetapi kami optimis memperbanyakkan pelaburan di dalam saham atau aset berstatus ESG.

“KWAP memulakan mandat ESG pada 2014 dan sehingga kini portfolio berkenaan mencatatkan prestasi memberangsangkan,” katanya pada majlis mengumumkan kerjasama KWAP dan Principles for Responsible Investment (PRI), badan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam.

KWAP menjadi penandatangan untuk PRI, sekali gus menjadi dana pencen pertama di Malaysia yang bergabung dengan rangkaian pembuat dasar global bebas bagi membina sistem kewangan dan ekonomi mapan menerusi asas pelaburan bertanggungjawab pada jangka panjang.

Wan Kamaruzaman berkata, fokus KWAP adalah melaksanakan amalan ESG yang kukuh bagi meningkatkan keselamatan sosial jangka panjang kepada pesara dan tanggungjawab terhadap generasi akan datang.

“Sebagai dana pencen pertama di Malaysia dalam menunaikan janji terhadap PRI, kami berusaha meneruskan komitmen terhadap pelaburan bertanggungjawab,” katanya.

Sebagai penandatangan PRI, KWAP komited menyokong dan menggalakkan penggunaan amalan ESG dengan menggabungkan langkah memfokuskan kepada pelabur seperti melaporkan aktiviti pelaburan secara terbuka selaras enam prinsip PRI.

KWAP kini mempunyai RM125 bilion aset di bawah pengurusan (AUM), termasuk RM2 bilion diperuntukkan untuk ESG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:09 AM