IZMIR (empat dari kanan) pada majlis menandatangani kontrak pelaburan RM30 juta di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: MaxmanTV, syarikat saluran kandungan digital yang semakin berkembang di Asia merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dalam meluaskan kehadirannya di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pengarah dan Pengasas Bersama Maxman TV Sdn Bhd (MaxmanTV), Izmir Mujab berkata, pelan IPO itu dijangka dilaksanakan dalam dua tahun lagi menjelang 2020 di pasaran modal Hong Kong iaitu di papan Pasaran Pertumbuhan Perniagaan (GEM).

Beliau berkata, MaxmanTV bermula sejak 2009 dan operasi saluran televisyen itu semakin berkembang pesat dari tahun ke tahunkhususnya di laman sosial Facebook dan YouTube. Sehingga kini, ia mempunyai 2.1 bilion tontonan di seluruh dunia.

“Perancangan utama kami adalah berkembang menjadi saluran digital pilihan ramai dan untuk itu ia memerlukan jumlah modal yang besar dengan pilihan IPO sebagai langkah tepat untuk dilakukan.

“Kami mempunyai kelebihan sebagai penggerak dalam bidang ini serta pengalaman dalam psikografi dan analisis penonton bagi menghasilkan kandungan dalam talian,” katanya selepas majlis kerjasama antara MaxmanTV dan Bradbury Investment Fund Limited (Bradbury) di sini, semalam.

Dalam kerjasama dengan firma pengurusan aset dan pelaburan berpusat di Hong Kong, MaxmanTV menerima suntikan modal lebih RM30 juta dalam menghasilkan rancangan televisyen, siri web dan kandungan digital lain.

Hadir sama Pengarah dan Pengasas Bersama MaxmanTV, Ali Moustafa serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bradbury, Keith Loo.

Izmir berkata, pihaknya yakin kerjasama itu bakal mewujudkan kesan positif menerusi pelaburan Bradbury dan kepakaran MaxmanTV bagi merancakkan industri media dan hiburan tempatan serta di luar negara.

“Kami terbabit dengan pelaburan studio bersaiz 929.03 meter persegi di pusat bandar Mid Valley, Kuala Lumpur yang membolehkan MaxmanTV bekerjasama dengan pencipta kandungan, sekali gus menyaingi studio antarabangsa lain seperti YouTube Space Tokyo dan Pinewood Studios Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelan pertumbuhan syarikat, katanya, ketika ini MaxmanTV yang berpangkalan di Malaysia merancang membuka pejabat di Singapura pada suku ketiga tahun ini serta Hong Kong dan Jakarta pada akhir 2018.

Antara pelanggan utama MaxmanTV ialah Astro, Celcom, Maybank, Lazada, 11street, Shopee, Mitsubishi, Toshiba, Monster Energy, Tencent dan Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:11 AM