JOHARI (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada kakitangan CGC tentang imSME terminal selepas pelancaran SME pinjaman pertama Malaysia dan pembiayaan landasan rujukan di Kuala Lumpur.
Nora Mahpar
noramahpar@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini boleh memanfaatkan platform rujukan pinjaman dan pembiayaan PKS pertama di Malaysia, imSME yang mampu memendekkan tempoh memproses dokumen pinjaman berbanding sebelum ini.

Buat permulaan, platform yang diuruskan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) itu dijangka memanfaatkan sehingga 2,000 PKS menjelang akhir tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, platform berkenaan adalah satu lagi kejayaan kepada ekosistem PKS, di mana peserta industri boleh memilih pelbagai pilihan pinjaman oleh bank yang terbabit, sekali gus menikmati kemudahan kewangan yang bertepatan dengan model perniagaan masing-masing.

“Pastinya, platform ini akan memendekkan tempoh pemprosesan pinjaman berbanding cara konvensional yang memerlukan mereka pergi ke setiap bank untuk memohon pinjaman.

“imSME disasarkan kepada semua peringkat PKS yang berdepan masalah memohon pinjaman. Ia membolehkan PKS mencari dan memadankan produk pinjaman yang sesuai dengan kehendak mereka,” katanya ketika melancarkan platform itu di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 8:50 AM