Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengendali utama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0, Tunas Manja Group (TMG) merekodkan jualan memberangsangkan sehingga tujuh peratus selepas seminggu dilancarkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tujuh peratus itu adalah purata keseluruhan peningkatan jualan bagi 21 cawangan pasar raya TMG di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan model perniagaan baru yang diperkenalkan bagi penjenamaan semula KR1M 2.0 adalah bertepatan pada masanya serta lebih terbuka dan berdaya maju.

“Kita melihat pertumbuhan jualan yang cemerlang walaupun ia baru dilancarkan semula pada 4 Februari lalu membuktikan kejayaan dalam inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui inisiatif swasta.

“Inisiatif ini bukan saja memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, malah turut memberi kelebihan kepada peniaga yang mengambil bahagian.

“Sebagai contoh, TMG berjaya merekodkan peningkatan jualan sehingga tujuh peratus bagi semua cawangannya yang terbabit selepas lebih seminggu ia dilancarkan,” katanya pada sidang media taklimat KR1M 2.0 di Menara Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini, semalam.


DARI kanan, Hamzah bersama Pengerusi PNS Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, Pengarah Urusan PNS Datuk Syed Kamarulzaman Datuk Syed Zainol Khodki Shahabudin dan Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Henry Sum Agong melihat barangan yang ditawarkan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

KR1M 2.0 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Februari lalu ialah penjenamaan semula daripada program KR1M yang diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak tahun 2011.

Dalam KR1M 2.0 kerajaan melalui KPDNKK memperkenalkan model baru berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar, operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Hamzah berkata, kerajaan juga melantik PNS, agensi di bawah KPDNKK sebagai pengendali induk bagi KR1M 2.0 yang berperanan menyelia dan menjalin kerjasama dengan rakan strategik dalam inisiatif ini.

“PNS sudah menjalin usaha sama dengan dua syarikat peruncitan dalam negara iaitu TMG dan KK Super Mart serta merancang untuk meluaskannya kepada kedai runcit,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan berhasrat untuk membuka 3,000 cawangan KR1M 2.0 menjelang 2020 dan menyasarkan untuk menawarkan 100 barangan pada April 2018 berbanding 50 barangan ketika setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:29 AM