MOHD Irwan Serigar.
Shahrizan Salian
shahrizan_salian@bh.com.my

Putrajaya: Pencipta inovasi boleh menguji daya maju penyelesaian atau produk masing-masing dalam satu persekitaran yang kondusif serta selamat di bawah inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan itu membabitkan percambahan minda antara pengawal selia dan peserta beberapa industri terpilih dalam usaha melahirkan pelbagai produk serta penyelesaian inovatif.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, inisiatif berkenaan akan membolehkan pengawal selia dan peserta industri berinteraksi bagi membincangkan keperluan penyesuaian peraturan serta garis panduan untuk merancakkan industri.

“Ini seterusnya menjadikan negara lebih berdaya saing serta berupaya menarik pelaburan dari dalam dan luar negara,” katanya pada taklimat pelaksanaan inisiatif Kawal Selia Sandbox di sini, semalam.

Irwan berkata, di bawah inisiatif itu, golongan pencipta inovasi, korporat serta orang awam boleh mengemukakan penyelesaian atau produk ke sandbox untuk diuji dan jika terbukti sesuai selepas proses eksperimen, ia boleh diluluskan untuk dilaksanakan.

Jika perlu, beliau berkata, undang-undang yang sesuai boleh dipinda untuk membolehkan pelaksanaan inisiatif baru.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan mahu pengawal selia mempunyai minda terbuka terhadap perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas dan meminda undang-undang yang sesuai bagi pelaksanaan inisiatif baru.

“Bagi pelabur dan usahawan muda serta syarikat pemula niaga untuk memulakan perniagaan, peraturan perniagaan mestilah sesuai dan kondusif untuk mereka beroperasi.

“Kadangkala pengawal selia agak terlambat untuk memperkenalkan akta atau perubahan kawal aturan yang menyebabkan industri tidak boleh beroperasi, seperti perkhidmatan Uber yang memakan masa setahun untuk memperkenalkan akta berkaitannya,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menjadikan Cyberjaya sebagai Makmal Kehidupan, beliau berkata, usaha membabitkan tindakan menaik taraf bandar termasuk infrastruktur, pembayaran menggunakan platform e-pembayaran dan pembangunan kelajuan Internet kepada 5G.

“Minggu depan kami akan umumkan syarikat multinasional yang berminat untuk membangunkan Cyberjaya sebagai Bandar Raya Pintar dan antara komponennya ialah perkhidmatan Internet 5G,” katanya.

Inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara dipacu oleh Kementerian Kewangan sebagai gabungan Strategi Lautan Biru Negara (NBOS) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sebanyak 17 sektor dikenal pasti termasuk pertanian, bioteknologi, bangunan, pendidikan, tenaga, kewangan, makanan, teknologi hijau, penjagaan kesihatan dan hospitaliti.

Sektor lain adalah bandar raya pintar, sukan, telekomunikasi, pengangkutan, pelancongan, pengurusan air serta pengurusan sisa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:40 AM