Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan perkembangan ekonomi yang cemerlang pada kadar 5.9 peratus pada 2017 iaitu lebih tinggi berbanding 4.2 dan 5.0 peratus masing-masing pada 2016 dan 2015.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, pertumbuhan memberangsangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu berdasarkan permintaan sektor swasta menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan unjuran bagi 2018 kekal kukuh, disokong permintaan domestik.

Menurut bank pusat itu, pada suku tahun keempat 2017, ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus berbanding 6.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Katanya, pada suku terakhir itu, sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian adalah penyumbang utama dengan semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif kecuali perlombongan dan kuari.

“Inflasi utama yang sederhana menjadi kepada 3.5 peratus pada suku keempat disebabkan inflasi lebih rendah dalam kategori perumahan, air, elektrik serta gas dan pengangkutan.

“Secara keseluruhannya pada 2017, inflasi utama mencatatkan purata 3.7 peratus dari 2.1 peratus pada 2016 dan ia dijangka terus sederhana pada tahun ini mencerminkan sumbangan yang lebih kecil daripada faktor kos global dan ringgit yang lebih kukuh berbanding 2017,” katanya.

Tambah bank pusat itu, tekanan menaik hasil daripada permintaan yang teguh akan dihadkan oleh kapasiti ganti berterusan dalam pasaran buruh dan pelaburan berterusan bagi pengembangan kapasiti.

“Bagaimanapun, trajektori inflasi utama tetap bergantung kepada trend harga minyak dunia yang kekal tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, katanya, hutang luar Malaysia kekal terurus berdasarkan profil mata wang dan tempoh matang serta aset luaran yang tersedia dalam jumlah yang besar.

Setakat akhir Disember 2017, hutang luar Malaysia berjumlah RM883.4 bilion atau 65.3 peratus daripada KDNK pada akhir Disember 2017 berbanding RM873.8 bilion atau 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir September.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:48 AM