MENTERI Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusoff (dua kiri) serta Mohd Yusoff Sulaiman (tiga kiri) pada sidang media berhubungprojek kereta nasional. FOTO ihsan MIGHT
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@nstp.com.my


MODEL pertama projek kereta nasional baru akan mula berada di pasaran pada 2020, dengan model prototaip akan siap menjelang awal 2019.

Presiden dan Ketua Eksekutif, Kumpulan Industri - Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman berkata, model berkenaan menggunakan 100 peratus teknologi disruptif dan tidak mengikut jejak pengeluaran kenderaan konvensional.

“Kita tidak menganggap projek ini sebagai kenderaan nasional ketiga, sebaliknya ia adalah projek baru memandangkan teknologi yang diguna pakai berbeza dengan Proton atau Perodua.

“Malah, kami juga percaya ia adalah jenama kenderaan keluaran Malaysia yang pertama dihasilkan melalui revolusi Industri 4.0,” katanya.

Menurutnya, ketika ini pihaknya sedang giat memilih rakan strategik bagi menjayakan projek berkenaan dengan 100 peratus pembabitan syarikat tempatan.

“Antara pihak yang berpotensi menyertai projek ini adalah SilTerra dan Composites Technology Research Malaysia (CTRM) yang akan membangunkan bahagian komponen kenderaan,” katanya pada taklimat media di Cyberjaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 10:01 PM