YAP (empat dari kanan) bersama penaja melancarkan pameran Perfect Livin’18 di PWTC, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstpcom.my

sofyan.rizal@nstp,com.my

Kuala Lumpur: I.Star Ideas Factory Sdn Bhd (i.Star Ideas), penganjur pameran kediaman dan gaya hidup Perfect Livin’18 menyasarkan jualan antara RM50 juta hingga RM60 juta bagi edisi terbaru pameran itu bermula 4 hingga 7 Oktober ini.

Pengarahnya Jason Yap berkata, syarikat yakin mencapai sasaran itu melalui tawaran produk pada harga yang sama meskipun kerajaan baru saja melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) September lalu.

“Untuk menangani impak pelaksanaan cukai ini, kami bekerjasama dengan pemamer untuk menawarkan harga yang kekal sama seperti sebelum ini dan paling menarik, ada pemamer yang menurunkan harga lebih rendah untuk pameran kali ini,” katanya pada pelancaran Perfect Livin’18 di sini, semalam.

Beliau berkata, orang ramai yang berkunjung ke pameran kali ini berpeluang mendapat pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM400,000 dan mengikuti aktiviti menyeronokkan untuk seisi keluarga.

“Antara hadiah selamat datang ialah botol minuman aluminium bagi 1,000 pengunjung terawal setiap hari dan aktiviti daftar dan menang yang menawarkan hadiah berupa tilam Dunlopillo Talasilver Wave Premio bernilai RM15,000.

“Orang ramai yang berbelanja RM1,000 dan ke atas berpeluang menebus hadiah menarik daripada siri barangan berjenama, memenangi baucar tunai dan hadiah menarik lain seperti kipas siling dan pemancur air panas Joven,” katanya.

Pengunjung berpeluang memenangi Dapur Digital Nano Sugawa bernilai RM3,898 melalui aktiviti beli dan menang serta kerusi urut Ogawa iModa bernilai RM6,999 melalui aktiviti kongsi dan menang di laman sosial Facebook.

Perfect Livin’18 sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula semalam hingga 7 Oktober ini yang mana ia dibuka kepada orang bermula jam 10 pagi hingga 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 3:00 PM