STEGLAND pada majlis pelancaran Volvo XC40 di Genting SkyAvenue.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

GENTING HIGHLANDS: Volvo Car Malaysia melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak XC40 T5 premium bercirikan standard baharu terhadap keselamatan dan pengalaman pemanduan termaju.

Model yang dinobatkan sebagai Car of The Year European 2018 dijual pada harga RM255,888 (tanpa insurans) dan paling menarik, pasaran Malaysia akan menerima tingkat kemasan R-Design sebagai ciri standard.

SUV berteknologi tinggi itu dibangunkan untuk mengharungi cabaran di kota dengan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan dan lengkap meliputi pelbagai ciri keselamatan termaju dan infotainmen seperti XC60 serta XC90.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Lennart Stegland berkata, XC40 terbaharu itu dibina daripada warisan Volvo sebagai jenama yang sentiasa memberi tumpuan terhadap keselamatan pemandu dan penumpang.

“Dengan menggabungkan teknologi inovatif serta menawarkan piawaian keselamatan yang tinggi termasuk teknologi bantuan pemandu serta rekaan keseluruhan yang moden.

“Selain daripada semua teknologi yang kami perkenalkan untuk segmen ini,XC40 juga menampilkan rekaan kabin yang ringkas dan praktikal serta ruang simpanan berguna, hasil daripada maklum balas pengguna,” katanya ketika majlis pelancaran di sini, semalam.

XC40 T5 R-Design dilengkapi enjin 2.0 liter Drive-E menawarkan kuasa 252 hp dan 350 Nm tork.

Dibangunkan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA), XC40 turut menikmati pelbagai teknologi terkini yang sebelum ini hanya boleh ditemui pada model lebih besar yang menggunakan asas Scalable Product Architecture (SPA).

Teknologi itu termasuk Pilot Assist, City Safety generasi terbaru terhadap pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan, Run-off Road Protection and Mitigation dan Cross Traffic Alert with Auto Brake.

Stegland berkata, teras penghasilan rekaan ala Scandinavia ialah keseimbangan sempurna antara estetika dan fungsi.

“Sebagai contoh, terowong tengahnya tidak sekadar direka untuk nampak menarik, tetapi jika dilihat pada ruang pemegang cawan yang ada, ia juga boleh meyimpan syiling, kad, kabel serta menjadi ruang berguna untuk meletak telefon dengan ciri pengecasan tanpa wayar serta ciri USB,” katanya.

Empat warna ditawarkan iaitu Bursting Blue, Fusion Red, Cyrstal White dan Osmium Grey. Volvo XC40 terbaharu itu akan berada di bilik pameran semua pengedar sah Volvo seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 5:00 AM