NOR Shamsiah
HM Digital

Kuala Lumpur: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan terus berkembang pada 2019, disokong oleh ekonomi dan komposisi eksportnya yang pelbagai.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, walaupun persekitaran luaran mencabar, beliau berkata, ekonomi domestik dijangka kekal positif tahun ini, didorong aktiviti sektor swasta yang mantap dan inflasi yang sederhana.

“Aktiviti sektor swasta menjadi pemacu utama pertumbuhan sepanjang 2018 dan 2019.

“Kedudukan pasaran buruh yang menggalakkan, iaitu sektor swasta yang mantap yang mempunyai pertumbuhan pekerjaan tinggi dan peningkatan ketara sentimen pengguna menyokong penggunaan swasta,” katanya pada Forum Malaysia Dalam Era Baru anjuran RHB, Maybank dan CIMB di sini, semalam.

Nor Shamsiah berkata, kestabilan dasar Malaysia dan pasaran kewangan kukuh membolehkan negara menampan kejutan luaran dan memastikan pertumbuhan.

Struktur ekonomi yang pelbagai, selain produk dan pasaran eksport yang beraneka ragam memberikan Malaysia daya tahan untuk menghadapi masalah global dan domestik, katanya.

Mengenai risiko penurunan, beliau percaya ketegangan perdagangan semasa mengganggu pertumbuhan perdagangan global dan menjejaskan ekonomi Malaysia namun pengantaraan kewangan berada pada tahap sihat.

“Kami mempunyai dasar memastikan kecairan dalam sistem kewangan mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan,” kata Nor Shamsiah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 11:59 AM