PENGURUS Besar SAC, GAN Seng Keong.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

SENAI: Senai Airport City Sdn Bhd (SAC) anak syarikat milik penuh Kumpulan MMC Bhd yakin dapat menarik lebih banyak pelabur dalam dan luar negara khususnya daripada syarikat multinasional (MNC) terkemuka dunia untuk beroperasi di taman perindustriannya.

Pengurus Besar SAC, Gan Seng Keong berkata, SAC adalah taman perindustrian bersepadu yang sedang dibangunkan secara berperingkat bagi memenuhi keperluan perniagaan yang memberi tumpuan terhadap sektor industri berteknologi dan berkejuruteraan tinggi.

Beliau berkata, bertepatan dengan lokasinya yang berada berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Changi di Singapura serta tiga lebuh raya utama, ia menjadikan SAC mudah diakses oleh komuniti perniagaan.

“Kami menyasarkan SAC untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pusat tumpuan pelabur dengan lima fokus segmen utama iaitu logistik, makanan, teknologi tinggi dan pengeluaran hijau, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa dan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“SAC yang akan lengkap sepenuhnya pada 2025 itu juga membabitkan kawasan pembangunan seluas 2,718 ekar yang mana ia bagi perindustrian dan zon komersial serta perindustrian bebas yang mampu mewujudkan serta menjana limpahan ekonomi kepada Johor serta Malaysia secara keseluruhannya.

“Antara infrastruktur yang siap sepenuhnya termasuklah pintu masuk utama SAC, Zon Bebas bagi Pemeriksaan Kastam serta pusat penyimpanan air selain disokong syarikat seperti I-Park dan EcoWorld.

“Sehingga kini, pihak SAC telah mengadakan pertemuan dengan 12 syarikat MNC dan syarikat pengeluar tempatan dalam merancakkan kemasukan pelabur,” katanya pada sesi taklimat dalam lawatan media ke SAC di sini, semalam.

SAC yang berada dalam wilayah Iskandar Malaysia juga menawarkan kelebihan kepada pelabur dari segi kedudukannya yang berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

Selain itu, pembangunan SAC akan dilaksanakan menerusi lima fasa iaitu dua fasa pertama untuk perindustrian, fasa ketiga bagi aeroangkasa dan MRO manakala dua fasa terakhir pula menekankan kepada pembangunan bercampur.

Gan berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kini adalah tempoh yang lebih baik memandangkan permintaan daripada pelabur terus menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Malah, kami juga yakin untuk menarik syarikat yang berminat untuk mengembangkan operasinya ke rantau ini menjadikan SAC sebagai pusat utama serta hab serantau mereka selain penyertaan dari pemain industri tempatan,” katanya.

Katanya, dalam usaha untuk menarik minat pelabur, antara inisiatif lain oleh pihak SAC termasuklah melabur sehingga RM500 juta bagi fasiliti telekomunikasi, air dan elektrik yang lebih cekap dan efisien.

“Tiga perkara asas itu adalah penting kerana apa yang pelabur harapkan, keperluan itu sudah tersedia supaya sebarang operasi dapat dijalankan dengan cepat tanpa memberikan sebarang masalah kepads perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:14 AM