SYED Faisal (berdiri, dua dari kanan) melihat majlis pemeteraian perjanjian kerjasama pembekal Proton dan rakan kongsi luar negara di Tanjung Malim, semalam. Turut hadir, Mohammad Nizar (tengah). FOTO Zunnur Al Shafiq
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


TANJUNG MALIM: PROTON Holdings Berhad memperuntukkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion bagi pembesaran kilang pengeluaran mereka di Tanjung Malim, Perak yang juga akan menjadi pusat pengeluaran model baru jenama itu pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, selaras dengan perjanjian perkongsian strategik antara Proton dan Geely pada 2017, langkah ini juga sebagai komitmen mereka untuk meningkatkan angka jualan dan eksport dengan kilang di Tanjung Malim juga akan menjadi hab pengeluaran global model kenderaan pemanduan sebelah kanan kumpulan Geely.

“Pelan perniagaan 10 tahun kami adalah untuk mengembalikan kegemilangan Proton dengan membangunkan semula jenama ini sebagai pemimpin untuk pasaran tempatan dan meluaskannya ke peringkat antarabangsa terutama ASEAN,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian kerjasama pembekal Proton dan rakan kongsi luar negara di sini, semalam.

Majlis tandatangani perjanjian usahasama ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong; Timbalannya, Datuk Radzaif Mohamed dan Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menurutnya, perjanjian usahasama antara vendor tempatan dan antarabangsa turut dimeterai sebagai persediaan untuk model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Proton X70 dan mode baru lain yang akan dilancarkan pada masa hadapan.

Ia adalah pendekatan awal dalam usaha mencapai standard dunia daripada segi kemajuan teknologi dan kualiti dalam membangunkan komuniti pembekal industri automotif Malaysia.

Ia turut meliputi skop pengeluaran dan bantuan teknikal yang dijangka membawa pelaburan awal sebanyak RM170 juta serta meningkat dalam tempoh beberapa tahun selari dengan pertambahan jumlah pengeluaran Proton dan menyediakan 450 peluang pekerjaan.

“Pembabitan lapan syarikat tempatan dan antarabangsa ini sebagai permulaan untuk mencapai 30 peratus penghasilan komponen utama model-model Proton menggunakan komponen tempatan bagi pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran domestik dan antarabangsa serta mampu berdepan pesaing dari seluruh dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:29 AM