FISHER House hasil rekaan arkitek Louis.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Fisher House di Hatboro, Pennsylvania, Amerika Syarikat ini adalah satu daripada sembilan rumah persendirian yang direka arkitek terkenal di negara berkenaan iaitu Louis Kahn.

Hasil rekaan Louis seperti Muzium Seni Kimbell di Fort Worth, Texas dan Institut Salk di La Jolla, California terkenal dengan penggabungan cahaya semula jadi.

Ciri-ciri yang jelas itu turut terdapat pada Fisher House yang menerapkan elemen ‘kiub geometri.’


MODEL reka bentuk Fisher House.

Kediaman itu juga dikatakan berdiri di atas sebuah platform dengan ‘grid kayu’ yang berperanan menguatkan rasuk utama untuk menyokong lantai tingkat atas.

Siap dibina pada 1967, pemilik asal kediaman itu adalah pasangan Doris dan Norman.


ANTARA orientasi seni Louis.

Beberapa tahun lalu, pasangan berkenaan menyerahkan kediaman itu kepada National Trust sebagai persediaan untuk jualan.

Terkini menerusi PreservationNation Blog dikatakan pemilik baru kediaman itu adalah pasangan Charles Firmin-Didot dan Bianca Sforni.

“Kediaman ini unik dan sentiasa berubah perspektifnya.

“Tidak kira musim, kami seronok tinggal di sini,” kata Bianca.


SIAP dibina pada 1967, pemilik asal kediaman itu adalah pasangan Doris dan Norman.

Sementara itu, Charles pula memberitahu dia dan Bianca memutuskan untuk tidak ‘menutup’ keseluruhan dinding.

Ia bagi membolehkan pasangan itu membezakan antara dinding plaster kapur dengan elemen kayu.

“Tidur juga selesa dan sebaik bangun pagi, pencahayaan semula jadi yang masuk dalam ruang kediaman ini membuatkan kami seronok,” kata Charles.

Nyata rekaan Louis itu memperlihatkan pembahagian ruang sempurna.

Selain pencahayaan, sistem pengudaraan dari binaan tingkap dengan penutup kayu dilihat lebih privasi ketika ia dibuka.

Ini kerana bagi Louis, ruang, pencahayaan dan pengudaraan adalah orientasi seni yang tepat.


MEMPERLIHATKAN pembahagian ruang sempurna.

Bagaimanapun, arkitek itu tidak ketinggalan menerapkan elemen natural lain termasuk bingkai tingkap untuk seluruh kediaman itu diperbuat daripada kayu.

Beberapa tingkap lebih kecil yang pula terletak pada bahagian barat laut dan barat daya kediaman itu bagi mengimbangi cahaya semula jadi di pintu masuk.

Sekali gus membantu mengurangkan silau selain membolehkan kemasukan cahaya semula jadi di sebelah petang.

Ruang tamu dibina di blok berasingan antara contoh keutamaan lain yang penting bagi Louis.

Arkitek itu gemar membahagikan ruang dalaman dengan fungsi yang lebih efisien.

Idealnya, setiap ruang atau bilik, mempunyai rangkaian atau laluan sendiri.


ELEMEN ‘kiub geometri’ membuatkan kediaman ini unik.

Begitu juga dengan ruang makan yang tampil dengan tingkap bersaiz besar membolehkan pandangan luar dinikmati sepenuhnya dari ruang itu.

Malah kediaman itu turut mempunyai lobi di pintu masuk utama dan ruang bawah tanah turut menempatkan ruang penyimpanan.

Uniknya ruang bawah tanah itu turut berada berdekatan sungai dan Louis membina ruang itu di dalam batu supaya struktur kayunya mampu bertahan lama.

Biarpun mengambil masa yang lama untuk disiapkan, Fisher House begitu dikagumi kerana mempunyai identiti tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 7:07 AM