LAMAN desa ala Inggeris dengan konsep minimal.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Memiliki ruang yang terhad bukan alasan untuk mengetepikan minat mendalam terhadap seni dekorasi laman rumah berkonsepkan ala Inggeris.

Sebaliknya, kebijaksanaan memanfaatkan ruang dengan pemilihan hiasan bersaiz sederhana menjadi langkah terbaik untuk menyerlahkan sisi kreatif individu.

Menetap di kediaman teres di Sungai Buloh, Jamilah Ismail mengakui minatnya terhadap gaya dekorasi ‘jardin anglais’ (taman ala Inggeris) tersemai sejak 16 tahun lalu.

“Sejak muda, saya berminat dengan dekorasi rumah. Meskipun usia sudah mencecah 71 tahun, minat ini masih saya teruskan dan rumah ini menjadi tempat saya berkarya.

“Sebelum ini, saya menggunakan konsep berbeza, kemudian saya tertarik dengan konsep ala Inggeris yang ‘simple’ dan agak santai.

“Setiap sentuhan dekorasi di ruang tamu mahupun taman mini adalah cetusan idea dan mengikut cita rasa sendiri.

“Oleh kerana saya tinggal di rumah teres, justeru, ruang untuk saya berhias agak terhad. Saya juga perlu berhati-hati ketika memilih hiasan bersesuaian,” katanya.


JAMILAH bijak memanfaatkan ruang.

Apabila tiba di kediaman wanita warga emas ini, keindahan sentuhan penataan tertumpu pada taman mini ala Inggeris terletak di bahagian kiri pagar yang seakan-akan menyambut mesra ketibaan tetamu.

Seperti dekorasi tipikal ala Inggeris lain, permainan warna putih daripada pagar mini dan taburan batu bersama rona kehijauan flora menjadi elemen tarikan utama.

Susunan pasu bunga renek seperti mawar kecil, bunga puding dan ‘money plant’ yang tidak selari memberi efek pemandangan laman menjadi lebih luas.

Selain menyelitkan elemen Inggeris menerusi basikal dan lampu lantera yang dicat putih, gantungan pasu bunga berdaun ‘money plant’ berwarna merah dan kelabu menambah seri landskap mini yang didominasi rona hijau.


MENYUNTIK elemen ala Inggeris menerusi basikal, sangkar dan penyiram bunga hiasan.

Melepasi pagar kediaman Jamilah, ruang parkir diubah kepada laman yang lebih fokus sebagai ruangan santai bersama keluarga dan teman.

Berlatarbelakangkan dinding berwarna coklat lembut, bingkai tingkap putih menghiasi dinding dan auranya terserlah apabila kuntuman bunga kuning terang dijadikan aksesori tambahan.

Hiasan dinding bermotifkan peralatan berkebun menambahkan lagi aspirasi gaya Inggeris.

Sesuai dengan konsep santai dan tenang, kerusi taman berukir menjadi simbol desa ala Inggeris bersama rimbunan kehijauan pokok berdekatan.

Sebuah meja beralaskan kain corak petak merah dan putih bersama hamparan alas kait, Jamilah menutup ‘kekosongan’ dengan replika sangkar burung dihiasi gubahan bunga lavender berwarna biru terang dan lembut.


RONA kuning menutup dominasi warna tipikal konsep ala Inggeris.

Menghargai seni dekorasi yang sempurna dan cantik, wanita ini melengkapkan ruang dinding dengan dua rak kecil yang menjadi tempat ‘persinggahan’ bagi susunan jag pelbagai warna dan motif.

Tarikan juga tertumpu pada replika mini rumah Inggeris yang teratur cantik memenuhi rak dinding dan tidak membuatkan pandangan mata terlalu serabut dengan hiasan.

Menurut Jamilah, kebanyakan idea dekorasi dan aksesori hiasannya lebih minimal untuk disuai padan dengan ruang rumahnya.

Kedudukan sebuah bangku panjang berdekatan pintu masuk tampak menarik apabila bantal hiasan kecil bermotif bunga-bungaan Inggeris pelbagai warna dengan kata-kata menarik dijadikan elemen tambahan. Malah, idea meletakkan cermin berbingkaikan ukiran menyempurnakan sudut berkenaan.


RUANG santai yang selesa.

Menyerikan sudut, Jamilah memilih konsep bunga dan hiasan kecil berbeza pendekatan di sudut pintu gelongsor. Menutup penguasaan warna hijau dan putih di sudut berkenan, gantungan bunga vinca yang mekar lebat berjaya menarik perhatian.

Bagi Jamilah, konsep laman desa ala Inggeris memiliki keistimewaan dan keindahan tersendiri.

Selain melahirkan rasa tenang dengan hamparan kehijauan flora, tema ini juga sesuai dengan Jamilah yang menyukai konsep lebih santai, minimal malah mudah diselenggarakan seiring kudrat dan masa dimilikinya.


FOKUS menggunakan dekorasi bersaiz medium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:02 AM