KESEGARAN ruang tamu beri keselesaan.
HM Digital

Pasti ramai berdepan masalah bau hapak terutama pakaian dijemur tidak kering dengan sempurna kerana hujan.

Malah, bau kurang menyenangkan pada kusyen, langsir, permaidani dan sofa memang agak merunsingkan.

Anda sebagai tuan rumah pasti mendapat malu jika tetamu yang berkunjung ke rumah mengadu terhidu kurang menyenangkan pada sofa sebaik melabuhkan punggung di tempat duduk berkenaan.

Ada juga situasi tetamu mendakwa permaidani anda berbau muntah dan makanan basi.

Bagi mengatasi masalah fabrik dalam rumah berbau tidak enak, pengeluar pewangi fabrik Mastura Rezki memperkenalkan semburan pewangi dengan bauan lavender.

Ia dapat memberikan aroma yang segar dan harum apabila disembur ke permukaan pelbagai jenis fabrik.

Pengasasnya, Ahmad Sodiqin Norahim berkata, pewangi fabrik dengan jenama Mr Escape itu membantu menyelamatkan ruang tamu anda dengan menambahkan aroma pada keseluruhan kediaman, di samping memberikan ketenangan.

“Pewangi berasaskan air ini tidak akan merosakkan fabrik anda, malah tak meninggalkan kesan kuning seperti segelintir pewangi fabrik lain.

“Selain menghilangkan bau kurang menyenangkan, keharumannya juga kekal selama 24 jam.

“Menggunakan haruman semula jadi bunga lavender yang diketahui sejak dahulu lagi mempunyai banyak manfaat sebagai pewangi badan, aroma terapi dan pengharum ruangan serta penyegar pakaian,” katanya.

Malah pewangi itu sesuai untuk kegunaan di rumah, pejabat dan dalam kenderaan.

Pewangi berkenaan turut boleh disembur pada tudung atau pakaian ketika diseterika atau semburan ke dalam kasut bagi menghilangkan bau busuk atau mengatasi masalah bau asap rokok yang melekat pada fabrik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 10:32 AM