PENGGUNAAN warna emas pada sudut tertentu menyerlahkan elemen mewah.
KONSEP moden klasik pada sudut tertentu antara rekaan ‘come back’ trend deko.
SUSUN atur kabinet dan barang dapur tampak kemas.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@yahoo.com.my


Penggunaan ruang dapur tidak terhad untuk kerja penyediaan makanan semata-mata sebaliknya ia turut berfungsi sebagai ruang santai seisi keluarga atau tetamu.

Baik masyarakat Malaysia atau komuniti global sekalipun, secara umumnya tiada beza dari segi fungsi ruang itu kerana ia turut dilihat sebagai lokasi interaksi sosial yang aktif.

Oleh itu, rekaan ruang dapur juga antara bahagian yang perlu dititikberatkan khususnya idea dekorasi.

Trend masa kini juga menyaksikan kebanyakan pemilik kediaman sanggup memperuntukkan perbelanjaan tertentu untuk mengubah suai ruang dapur mengikut cita rasa masing-masing.

Menyedari hakikat itu, Perunding Hiasan Dalaman ZEDYA Zarina Abdul Aziz berkata, banyak projek pengubahsuaian kediaman yang dijalankan syarikatnya itu turut membabitkan ruang dapur.

“Dapur adalah ruang paling banyak diperuntukkan kerana membabitkan kerja pembesaran ruang atau perincian pada bahagian dinding, lantai, siling dan pemasangan perabot.

“Meskipun ruang ini disifatkan sebagai ruang peribadi dan paling terpencil dalam rumah, penggunaannya paling optimum.

“Biasanya bahagian dapur turut bersambung dengan ruang dobi dan ruang tamu membuatkan akses kepada bahagian ini lebih kerap,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung ia meningkatkan keperluan untuk mengubah suai ruang berkenaan mengikut fungsi, keluasan, bajet dan cita rasa penghuni.

Keadaan itu menyebabkan ruang dapur ini diolah daripada rekaan asas kepada lebih elegan sebagai ruang saji atau memasak.

Malah beliau tidak menafikan rekaan dalaman ruang itu turut dipengaruhi perkembangan fesyen.

“Bagi pembukaan 2018, saya menjangkakan trend rekaan ruang dapur yang bakal menjadi pilihan ialah kombinasi konsep harmoni dan semula jadi bergaya mewah.

“Refleksi rekaan mewah dapat dilihat pada kemasan lantai, dinding dan perabot.

“Tafsiran kami dari ZEDYA adalah penggunaan elemen warna emas untuk perincian perabot dapur bagi menggambarkan ciri eksklusif supaya lebih menonjol tapi pada kadar bersesuaian,” katanya.

Bagi konsep semula jadi, penggunaan warna hijau daun atau hijau zamrud dijangkakan mempunyai pesona tersendiri dalam menggambarkan aura mewah.

“Pada masa sama, sepadan dengan konsep harmoni, warna hijau dengan ton lebih gelap menampilkan ‘mood’ eksklusif pada ruang berkenaan.

“Saya melihat trend ini selari dengan peredaran fesyen tahun lalu apabila sebahagian besar koleksi pereka pakaian menggunakan warna berkenaan.

“Cuma, bagi perkembangan trend hiasan dalaman pengaruhnya lewat sedikit berbanding peralihan trend fesyen,” kata Zarina.

Malah Zarina turut merujuk pengaruh warna itu selari dengan perkembangan trend rekaan hiasan dalaman di China dan United Kingdom (UK) yang ketika ini melihat hijau serta emas sebagai pilihan baik untuk rona warna dekorasi.

“Di UK, pemilihan konsep warna ini sudah popular sejak 2017 dengan elemen kedesaan yang dekat dengan alam semula jadi.

“Sementara di China pula, didapati perabotnya menggunakan kemasan hijau dan emas.

“Jika dulu palet warna selamat seperti putih atau perang digunakan, saya yakin kini pemilik kediaman lebih berani mencuba.

“Ditambah trend dan platform media sosial yang banyak menyajikan perkembangan semasa hiasan dalaman,” katanya.

Bagaimanapun, Zarina berkata, peranannya selaku perunding hiasan dalaman memerlukan beberapa aspek diambil kira sebelum mereka bentuk ruang dapur pelanggannya.

“Setiap rekaan saya hasilkan merujuk kepada tiga perkara iaitu konsep, tema dan gaya,” katanya.

Sementara itu, pemilik kediaman di Rawang, Selangor Mila Hanilshah Sobri pula tampil berkongsi pengalamannya menggunakan konsep kedesaan namun terdapat ciri warna mewah pada hiasan dapurnya.

“Saya lebih menyukai warna natural seperti perang dan mahukan kekal konsep ringkas. Tetapi ada konsep dalam hiasan dapur menggunakan warna mewah seperti emas untuk menonjolkan ruang tertentu dalam dapur.

“Antaranya perincian pada kabinet dapur pula membabitkan penggunaan gentian kaca berwarna emas.

“Di ruang memasak, saya tidak membuat sebarang kerja-kerja pengubahsuaian kerana mahu memudahkan pergerakan dan susun letak barang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 10:39 AM