MEMPUNYAI tarikan tersendiri.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my

Perhiasan dinding antara elemen terpenting bagi sesebuah kediaman, pejabat, galeri, spa atau restoran. Tanpa hiasan dinding sesebuah ruang akan kelihatan ‘kosong’ dan tidak berseri.

Kebelakangan ini semakin ramai peka terhadap hiasan rumah terutama wanita yang cintakan keindahan ruang kediaman mereka.

Tidak kira sama ada hiasan dinding yang ringkas atau ‘meriah’ masing-masing punyai tarikan tersendiri. Seakan-akan menjadi trend apabila perhiasan dinding dianggap elemen wajib terutama kepada pasangan yang baru memiliki kediaman sendiri.

Bagi pengusaha Hiasan Dinding Khat Ruzanna Ahmad Rodzi, 32, minat terhadap hiasan dalaman menyebabkan dia membuka perniagaan berasaskan seni hiasan dinding termasuk jam dinding dan khat.


CETUSKAN kelainan pada ruang.

“Saya memulakan perniagaan hiasan dinding khat ini sejak Ogos 2012. Bermula dengan suka-suka, tidak sangka mendapat permintaan menggalakkan. Sejak itu saya perhatikan ramai orang terutama Melayu yang sukakan hiasan dinding tertulis ayat suci.

“Tetapi ada juga yang menyukai hiasan dinding yang lebih santai dengan warna dan tulisan atau lukisan sedap mata memandang,” katanya.

Selain itu, Ruzanna turut menjual jam dinding yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggannya. Istimewanya, dia menawarkan jam dinding pada harga berpatutan dan tidak perlu belanja besar untuk memilikinya.


SOFISTIKATED

“Jam dinding ini menggunakan gambar resolusi tinggi bagi memberi gambaran yang realistik pada setiap dekorasi yang terhasil dengan tapaknya diperbuat daripada kayu padat dan dicetak di atas kertas foto berkualiti tinggi.

“Pelanggan juga boleh memilih pelbagai saiz dan bentuk jam dinding yang diinginkan iaitu empat segi dan empat segi tepat dengan lebih 100 jenis rekaan gambar mempesonakan,” katanya.

Ada pelbagai hiasan boleh menyerikan dinding kediaman atau pejabat, khususnya dinding polos (tanpa corak) yang memang memerlukan elemen hiasan tambahan.


KOMBINASI warna dan hiasan yang memukau.

Tentunya dinding yang kosong kelihatan hambar atau kurang berseri. Jam dinding antara hiasan yang mampu menaikkan seri dinding di sesebuah kediaman mahupun pejabat.

Selalunya jam dinding jenis klasik atau antik diperbuat daripada bahan dan kayu berkualiti dengan harga pasarannya mencecah ribuan ringgit.

Namun, seiring peredaran masa dan zaman yang semakin maju, jam seperti itu tidak lagi mendapat sambutan kerana generasi muda berbeza cita rasa.

Tidak dinafikan jam biasanya menghiasi latar dinding termasuk ruang tamu, bilik tidur dan bilik belajar. Malah elemen hiasan dwifungsi berkenaan kini bukan saja dilihat sebagai keperluan untuk setiap kediaman, tapi turut memainkan peranan dalam sentuhan dekorasi. Oleh itu, pelbagai jenis rekaan dan bentuk jam dihasilkan.



RINGKAS namun masih menarik.

Ia secara tidak langsung melengkapkan tema atau konsep dekorasi pilihan seperti moden, kontemporari, Inggeris, elektik atau Nusantara.

Daripada rekaan yang selalunya bulat atau empat segi, kini jam dinding tampil dalam pelbagai koleksi. Jika dulu kayu dan kaca menjadi bahan asas jam dinding, kini materialnya dipelbagaikan termasuk kanvas, plastik, fabrik, getah dan aluminium.

Ruzanna berkata, kebanyakan pelanggan memilih perhiasan dinding hiasan seni kaligrafi berserta jam dinding kerana bentuk tulisannya yang unik, penggunaan warna menyerlah serta kekemasan karya hingga ia menjadi pilihan masyarakat negara ini.


IMPAK berbeza pada ruang dinding.

“Lazimnya pelanggan akan beli sekali pakej hiasan dan jam dinding kerana ia lebih menjimatkan. Kelebihan produk kami ialah ia tahan lama dan selamat untuk ekologi.

“Tapaknya menggunakan kayu padu yang kuat dan tahan lasak setebal 1.8 sentimeter.

“Dicetak atas kertas foto berkilat menjadikan permukaannya licin dan berkilau. Paling penting material digunakan bukan daripada kanvas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 8:31 AM