Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my

Menyingkap amalan lestari dalam dunia landskap, ia berkait rapat dengan definisi penggunaan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan asas ke arah mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

Pada masa yang sama meminimumkan penggunaan sumber asli dan pengeluaran bahan toksik, buangan dan pencemar supaya tidak menggugat keperluan generasi akan datang.

Amalan lestari juga antara keutamaan dalam mencipta persekitaran yang sarat dengan keindahan semula jadi dan terpelihara.

Secara jelas amalan lestari dilihat mempunyai kesinambungan dengan Deklarasi Rio pada 1992.

Deklarasi itu adalah dokumen ringkas yang dihasilkan pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) atau Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) juga pada 1992.

Ia membariskan 27 prinsip bertujuan membimbing negara dalam pembangunan lestari masa depan selain ditandatangani lebih 170 negara.


ANTARA pengenalan utama Perkampungan Sukunan.

Sementara Agenda 21 pula pelan agenda menyeluruh untuk perkongsian global dalam sidang kemuncak itu.

Ia antara program abad ke-21 dalam keperluan persekitaran berkualiti dan ekonomi untuk masyarakat dunia.

Kelestarian dan penjagaan persekitaran akan diberi keutamaan dalam pembangunan yang membabitkan kepentingan manusia.

Sementara itu, kaedah pelaksanaan Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL) adalah program yang menekankan pembabitan tiga pihak iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), masyarakat dan sektor swasta.

Tiga pihak ini saling bekerjasama merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan lestari serta kualiti hidup yang lebih sempurna.

Sebanyak empat tema sudah dikenal pasti dalam usaha menjayakan LA21 KL iaitu Bandar Raya Bersih & Indah, Bandar Raya Sejahtera, Bandar Raya Selamat dan e-Bandar Raya.


BAHAN terpakai dijadikan alas kerusi ini.

Pelbagai program turut diadakan termasuk Lawatan Berinformasi & Penanda Aras Inisiatif Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur ke Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Peserta yang terbabit terdiri daripada Jawatankuasa Kerja Projek Kebun Kejiranan LA21KL, agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Lawatan kerja itu membabitkan perkongsian pelaksanaan, ilmu dan amalan terbaik program komuniti tempatan dan institusi pendidikan di Indonesia.

Memandangkan negara itu juga cenderung dalam pelaksanaan program yang mengambil berat pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar dalam kalangan penduduk setempat.

Peluang menyertai lawatan antara pengalaman paling bermakna buat Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir.


TONG terpakai dicat dan dihias menarik untuk dijadikan tempat pengasingan sampah.

“Memanfaatkan peluang yang ada, ia dilihat sebagai satu perkongsian ilmu landskap tanpa batasan antara Malaysia dan Indonesia.

“Cetusan idea dan amalan lestari yang diketengahkan di negara jiran ini membuktikan pembangunan dan pemeliharaan landskap lebih sempurna jika mengambil kira pelbagai aspek,” katanya yang juga Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) itu.

Amalan Lestari ­Perkampungan Sukunan

Mengunjungi Perkampungan Sukunan, di Jogjakarta antara program dalam lawatan berkenaan.

“Bagaikan berada dalam dunia berbeza. Bayangkan bahan terpakai dan landskap di sekitar kediaman menjadi pelengkap keperluan harian masyarakatnya.

“Kebergantungan sepenuhnya itu membuatkan perkampungan ini sungguh unik,” kata Dr Osman.

Lebih menarik katanya, pelbagai pendekatan digunakan masyarakat di perkampungan itu untuk lebih dekat dengan alam.


KAEDAH unik dalam mengekalkan kesegaran sayur-sayuran.

“Antaranya kewujudan kebun komuniti, biopori, penghasilan tanaman sistem hidroponik hasil pengumpulan air hujan, kaedah pengasingan sampah, penghasilan kraf tangan daripada bahan terpakai, penyediaan bekas kitar semula dengan mural menarik dan kempen galakan kitar semula dalam kalangan masyarakat menerusi penubuhan persatuan.


PESERTA lawatan meninjau lubang resapan biopori yang berbentuk tegak lurus ke dalam tanah.

“Styrofoam terpakai pula dijadikan dinding dan pasu bunga, sementara ranting serta daun sebagai bahan bakar,” katanya.

Penyelidik Amalan Lestari

Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM turut mempunyai sekumpulan penyelidik diketuai Dr Osman yang mengkaji secara mendalam berkenaan Amalan Lestari Dalam Pemeliharaan Alam Sekitar serta Landskap (SPiCE).


GAMBAR kenangan dirakam ketika berada di Perkampungan Sukunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 8:16 AM