SERASI dengan persekitaran kediaman terletak di cerun bukit.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Bukan semua rumah ada balkoni. Kalau ada pun, mungkin terlalu kecil dan tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Biarpun tidak menjadi ruang wajib ada pada kediaman, balkoni mampu mengubah pemandangan keseluruhan bangunan.

Apatah lagi sudut itu sering dijadikan ruang meninjau atau bersantai selain medium yang mampu menghubungkan manusia dengan alam.

Sebagai contoh, apartmen mewah Eling Hill terdiri daripada tiga blok bangunan yang tersergam indah terletak di celah cerun bukit di Semenanjung Yuzhong di Wilayah Chongqing menjadi antara bangunan kediaman paling menawan di wilayah tengah China itu.


SERASI dengan persekitaran kediaman terletak di cerun bukit.

Menerusi sentuhan arkitek tersohor Moshe Safdie, setiap unit apartmen dilengkapi balkoni dengan pemandangan menghadap Sungai Yangtze dan bandar.

Untuk rekaan yang disifatkan mesra alam semula jadi, Moshe memilih konsep lengkungan sebagai bentuk asas atau latar kepada keseluruhan rekaannya.

Bentuk lengkungan ini tampak ‘harmoni’ dengan topografi bukit berhampiran sehingga kelihatan seperti sebahagian cerun.


HALANGAN besi jadi penutup balkoni.

Tidak lupa, arkitek tersohor Kanada itu turut menitipkan perincian kecil termasuk aksesori iaitu bumbung tambahan di balkoni kediaman itu.

Istimewanya perincian itu mengambil aliran bentuk yang sama menerusi susunan besi ditambah dengan penggunaan warna perang karat atau ada ketikanya seperti warna gangsa membuatkan ia lebih menonjol.


WARNA seperti logam yang karat atau tembaga menyerlahkan perincian terbabit.

Perincian seperti rekaan struktur bumbung balkoni mampu menyerlahkan rekaan kediaman dan konsep itu turut dipraktik pereka sama apabila balkoni pada bangunan di Singapore Habitat juga mempunyai elemen sedemikian.

Sementara itu balkoni pada blok apartmen The Garden Tower di Alphine Switzerland dibina oleh Buchner Brundler Architekten dikatakan antara rekaan ruang tinjau yang paling futuristik.


STRUKTUR logam melengkung cipta kelainan balkoni Eling Hill.

Dengan balkoni bersegi terbuka tanpa tembok kekal memberi sinergi kepada konsep lebih mesra alam. Tambahan pula, tumbuh-tumbuhan sengaja dibiarkan menyaluti ruang balkoni yang hanya dihalang jaringan besi berbentuk rombus.

Pelan lantai bangunan terbabit berbentuk heksagon tidak sekata juga unik selain susun atur dalaman luar biasa termasuk rekaan balkoni yang tidak simetri seakan-akan menyerupai muka bentuk permukaan di banjaran gunung sekelilingnya.


KEDIAMAN mewah di Singapura menampilkan perincian balkoni menarik menerusi arkitek sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 2:47 PM