TAMPAK vintaj dengan elemen kayu.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Sinaran berona putih atau kuning terpancar daripada mentol diod pancaran cahaya (LED) yang menghiasi cermin solek menjadi trend dekorasi masa kini.

Digunakan untuk menata rias wajah bagi memastikan penampilan elegan, cermin solek juga memainkan peranan penting dalam menyerlahkan satu-satu sudut.

Disifatkan sudut privasi, kebanyakan penggemar seni reka dalaman turut menampilkan sisi kreativiti masing-masing dengan membuat sendiri cermin solek mengikut cita rasa peribadi.

Berikutan antara idea membuat sendiri untuk menghasilkan cermin solek idaman masing-masing.


BERFUNGSI menceriakan sudut dalam dekorasi.

Minimalis

Meskipun konsep dibawa adalah minimalis, ia tidak bermaksud cermin solek DIY ini terlalu kaku. Sebaliknya, ia memberi kebebasan kepada pemilik untuk menzahirkan idea diingini dan tidak terlalu terikat dengan apa-apa syarat.

Cermin solek jenis ini lebih mudah dihasilkan dan digayakan, malah anda juga bebas memilih gaya santai mahupun moden.

Dilengkapi cahaya mentol

Ini antara pilihan popular dan sering dikaitkan dengan suntikan Hollywood. Cermin solek jenis ini bukan saja cantik malah ia mudah dipasang dan diletakkan di mana-mana sudut pilihan.

Kekurangannya terletak pada ketahanan mata anda untuk menerima cahaya yang terang, selain ia memerlukan meja sebagai aksesori lengkap.


SUNTIKAN idea Hollywood.

Berbingkai cahaya mentol

Penambahan mentol di belakang cermin solek membuatkan pencahayaan lebih menarik dan hasil visual kelihatan mengagumkan.

Idea cermin solek ini juga boleh disesuaikan di ruang berbeza termasuk ruang tamu, ia tidak terhad di bilik mekap mahupun tidur sahaja.

Cermin solek bilik mandi

Selalunya saiz cermin solek di bilik mandi jauh lebih kecil berbanding cermin solek utama. Pilihan cermin berbingkai kayu mencetuskan perasaan vintaj dengan penambahan pilihan lampu dinding yang unik di bahagian atas.

Dihiasi objek rawak

Idea ini bukan saja memerlukan kreativiti tetapi kesenian individu dalam menterjemahkan konsep cermin solek. Cermin solek ini mempunyai rekaan bingkai menarik, tidak memerlukan pengendalian rapi, penjimatan ruang dan kos lebih jimat.

Cermin solek tiga lipatan

Cermin solek jenis ini menjadi pilihan individu yang mendambakan kelainan dekorasi. Ia juga tidak kelihatan terlalu biasa atau sama seperti pemilik cermin solek DIY yang lain.


BERI visual yang mengagumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 12:00 AM