PENGGUNAAN buluh melengkapkan taman bertema ‘The Wild and The Restless.’
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


PEREKA landskap tempatan yang juga pengasas Inchscape, Inch Lim, mengekalkan gelaran Pertunjukan Terbaik dalam kategori kompetitif taman landskap 2016 di Festival Taman Singapura (SGF) 2018, baru-baru ini.

Inch turut merangkul anugerah Emas dan Hortikultur Cemerlang dalam pertandingan itu. Festival taman ini bertujuan meningkatkan kesedaran minat dalam berkebun, selain membabitkan masyarakat untuk bekerjasama dengan kerajaan Singapura bagi mengekalkan konsep ‘Garden City’.

Bertemakan ‘The Wild and The Restless,’ taman ciptaan Inch seluas 80 meter persegi itu dilihat meraikan keindahan tumbuhan tepi jalan. Ia menggunakan banyak tumbuhan liar yang asli atau eksotik berasal dari benua Amerika. Semua tumbuhan yang digunakan adalah tumbuhan tropika, boleh bertahan dan membiak sendiri.

Inch antara pereka landskap terkenal di Malaysia dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini. Beliau mempunyai kepakaran membabitkan tumbuhan tropika, idea yang inovatif, pemahaman luas dalam hubungan ruang dan bentuk seni budaya menjadikannya antara pereka disanjung tinggi.


INCH LIM menerima anugerah Pertunjukan Terbaik di Festival Taman

“Saya sentiasa menekankan pemahaman berkenaan hubungan ruang di samping memberi tumpuan yang sama terhadap tanggungjawab kepada alam sekitar dan ekologi. Saya juga sangat berbesar hati atas pengiktirafan yang diberikan kerana tema tahun ini adalah sesuatu yang sangat dekat di hati saya.

“Ia hasil kreativiti dan pengetahuan yang disatukan bagi memastikan idea dilaksanakan tampak lebih hidup serta luar biasa. Malah, saya turut berbangga apabila orang ramai menghargai hasil rekaan ini,” katanya.

Beliau pernah mendapat pelbagai penghargaan dari Jepun, Amerika Syarikat, Singapura dan Sri Lanka apabila hasil rekaannya diterbitkan secara meluas di peringkat antarabangsa. Festival Taman Singapura diadakan dua tahun sekali yang dilihat antara acara bunga dan taman terkenal di peringkat antarabangsa.

Ia adalah pertunjukan pertama yang menyatukan pereka landskap, penjual bunga dan hortikultur dari seluruh dunia untuk bekerjasama dengan hortikultur berbakat tempatan. Acara tahun ini menyaksikan lebih 40 pereka landskap terbaik dunia menghasilkan pameran menarik di taman Landskap dan Fantasi itu.

Antara pesaing adalah Andy Sturgeon dan Jim Fogarty (United Kingdom dan Australia), Chang Huai-Yan dan Ng Sze Oun (Singapura), Emily dan Mark Cook (Amerika Syarikat), Gregory Cazeaux dan Margeurite Ribstein (Perancis), Katsuhiko Koga dan Kazuhiro Kagae (Jepun) serta Leon Kluge (Afrika Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 3:00 AM