REKAAN dalaman kafe Pirana di Balham, London. FOTO/EMAIL
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


KOMBINASI elemen kayu, logam, lantai terazo jed dan campuran rona hangat seperti merah, hitam serta coklat menjadi identiti konsep Restoran Pirana di Balham, London.

Direka bentuk studio Sella Concept, restoran diusahakan adik-beradik Alastair dan Nicholas Heathcote itu menepati idea santai apabila mengelakkan sentuhan perincian berasaskan budaya Amerika Selatan.

Lari daripada idea tipikal rantau Eropah terutama ton lembut dan pola tradisional, Sella Concept mengambil pendekatan berani iaitu retro bagi pemilihan tempat duduk serta papan tanda yang mengembalikan nostalgia restoran popular sekitar 1950-an.

Hasil kerja membabitkan banyak pihak dengan pembahagian tugas pengubahsuaian di bahagian berbeza demi mencipta kelainan mood. Namun mereka sentiasa berhati-hati dalam memastikan ketiadaan jurang antara kategori pelanggan.

Menurut pengasas Sella Concept, Tatjana von Stein, sentuhan reka bentuk perlu meninggalkan kesan di hati dan mata yang memandang.

Malah susun atur, reka bentuk dan material digunakan turut mempengaruhi psikologi serta tingkah laku masyarakat untuk bertindak.

Bagaimana kita boleh ‘memindahkan’ pengunjung? Ini satu persoalan besar buat Sella Concept dalam usaha memastikan setiap sentuhan seni reka bentuk dalaman bukan sekadar memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan bahkan kelompok masyarakat yang menggunakan fasiliti sama.

Jelasnya lagi, konsep reka bentuk bermula dengan membangunkan kefahaman berkenaan bagaimana manusia memanfaatkan ruang secara keseluruhan, memasukkan elemen pertukaran visual dan atmosfera yang mampu memberi kemudahan dalam ruang berkenaan.

Ini terbukti dengan hasil reka bentuk dan dekorasi sentuhan Sella Concept yang mencipta ciri tersendiri mengikut ruang berbeza.

Bagi ruang depan yang menjadi tumpuan minuman ringan, kedatangan pelanggan diraikan dengan ‘persembahan’ cef apabila memperkenalkan konsep dapur terbuka.

Menghasilkan meja bar bertemakan pulau, pelanggan yang datang bersendirian boleh memilih ruangan ini.

Menggunakan tingkap bersaiz besar dan lut sinar, pencahayaan semula jadi menyerlahkan lagi tarikan restoran yang menggunakan rona merah.

Bagi yang memerlukan privasi, ruang bilik berasingan menggunakan warna lebih gelap seperti hijau berjaya membangkitkan cita rasa mewah dengan pencahayaan lampu gantung.

Selain kerusi dan lampu, setiap kelengkapan perabot kafe ini direka khas Sella Concept termasuk mini bar, bankuet, meja, bangku, kemasan lantai dan sinki.

Bagi mewujudkan karakter dan gaya konsisten di setiap perincian jenama restoran, Sella Concept turut mewujudkan identiti visual Pirana pada seluruh menu, kad perniagaan dan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 4:00 AM