TEMA putih, silver dan kelabu tema kediaman, Anisa Harian Metro. FOTO/SAIFULLIZAN TAMADI
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


ISTANA kristal antara gelaran sesuai sebagai gambaran simbolik bagi menceritakan keunikan seni reka dalaman pilihan kediaman Nor Asiah Mahamed ini dan menyerlahkan sisi istimewa pangsapuri yang menjadi syurga dunia buat keluarganya.

Apa tidaknya, hampir 80 peratus dinding di ruang tamu dan ruang makan kediaman terletak di Shah Alam, Selangor itu dipenuhi cermin pelbagai bentuk malah elemen yang sama turut dijadikan konsep utama bagi pemilihan perabot.

Menetap di kediaman berukuran 850 kaki persegi ini sejak 10 tahun lalu, ibu kepada lima anak ini menyifatkan rutin dekorasi sebagai peluang untuk menterjemahkan idea kreativiti diri sekali gus memperindahkan lagi rumahnya.

“Saya masih mengekalkan konsep Inggeris moden, cuma bezanya ia bukan lagi bermotifkan bunga mawar sebaliknya saya memilih rona tema yang kelihatan eksklusif seperti putih, perak dan kelabu.

“Idea ini tercetus apabila saya menyaksikan koleksi foto dekorasi kediaman menerusi laman sosial Instagram. Kombinasi tiga warna ini menyerlahkan keunikan dan ia nampak lain daripada yang lain.

“Tidak dinafikan, ramai yang memilih warna tema lebih selamat tapi saya sengaja mencipta kelainan dan tidak menyangka pertaruhan ini berjaya,” katanya.


ASIAH dan Noor Azizy memilih tema putih, silver dan kelabu tema kediaman. FOTO/SAIFULLIZAN TAMADI

Malah Nor Asiah mengakui cermin bertindak memberi refleksi terhadap semua hiasan yang ada di dalam rumah itu.

“Jadi, ia mampu menjadi nilai tambah kepada aksesori perhiasan yang mungkin kelihatan janggal apabila ia tidak memiliki ‘pasangan’ mahupun pelengkapnya.

“Suntikan elemen ini juga berjaya menyerlahkan lagi warna tema terutama perak yang sememangnya sinonim dengan cermin sekali gus membuatkan ruang dalaman tampak lebih eksklusif,” katanya yang turut ditemani suami, Noor Azizy Mohd Noh, 52 ketika sesi temu bual itu.

Meminati seni dekorasi dan berbakat menghasilkan karya perhiasan, wanita berusia 49 tahun ini memilih untuk melekatkan cermin berbentuk segi empat sama dengan susunan menegak pada dinding di laluan pintu utama, ruang makan dan tamu.

Gara-gara keluasan tidak terlalu besar, efek pantulan cermin membuatkan ruang lebih luas dan memberi keselesaan kepada tetamu.

Bercerita berkenaan ruang tamu, wanita ini berkata penggunaan kertas dinding berkerawang hasil tema terdahulu dilihat tidak ‘mencemari’ idea baru dan sentuhan dua bingkai gambar bermotif flora berwarna putih bersama kehijauan pokok menjalar berjaya menutup ‘kekurangan’ berkenaan.

Bagi memastikan dekorasi memenuhi identiti pilihan, ruang tamu turut dihiasi dengan kehadiran dua ‘armchair’ putih, kusyen hiasan berkilat pada posisi di bahagian jendela yang turut memiliki elemen berkilau dan meja sisi bercermin bersama tumbuhan hijau.

Lebih menarik, wanita ini turut memilih sofa ‘chesterfield’ putih dihiasi aksesori hiasan berbulu berona kontra dan meja kopi berkaca.

Bagi ruang santai pula, Nor Asiah memberi sentuhan istimewa apabila susun atur sepasang kerusi ‘armchair’ putih dilabel sebagai subjek utama disempurnakan dengan kusyen berkilauan di atas hamparan permaidani bercorak.

Demi mengurangkan dominasi rona tema serta menyemarakkan ‘mood’ santai, bingkai gambar bermotifkan flora berwarna merah jambu menghiasi dinding.


ASIAH dan Noor Azizy memilih tema putih, silver dan kelabu tema kediaman. FOTO/SAIFULLIZAN TAMADI

Bagi ruang menjamu selera, keluarga bersaiz sederhana ini memilih meja makan yang mampu memuatkan lapan orang.

“Meja makan antara tempat saya sekeluarga berkumpul sambil berbicara berkenaan aktiviti harian masing-masing, jadi aspek selesa menjadi keutamaan saya apabila menghias ruang ini.

“Bagi pencahayaan, saya memilih lampu jenis candelier dengan pencahayaan sedikit kekuningan. Saya turut meletakkan pasu hiasan bersama bunga-bungaan sebagai penyejuk mata.

“Cermin dinding besar ini mempunyai fungsi yang sama untuk memberi ilusi ruang besar. Bagi menghiasi latar dinding, saya turut meletakkan pinggan hiasan bermotifkan flora hasil kerja tangan sendiri di sekeliling bingkai cermin berkenaan,” katanya lagi.

Dianugerahkan bakat dalam seni lukisan dan jahitan, wanita ini mengakui kebanyakan perhiasan lain seperti kusyen hiasan, langsir, alas meja dan ilustrasi hiasan turut dihasilkan dengan kreativiti sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 4:40 AM