KOMBINASI warna unik menjadi penarik peminat tanaman hiasan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Karakter spesies hibiscus rosa-sinensis atau bunga raya yang mempunyai lima kelopak besar dan berwarna merah ‘menyala’ menjadi ciri penting ia dipilih sebagai bunga kebangsaan negara.

Malah pengumuman rasmi dilakukan sendiri Perdana Menteri Pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika merasmikan pameran Malayan Agro-Horticultural Association (MAHA) di Kelab Turf, Selangor pada 1960. Ia berjaya menyaingi bunga lain seperti ros, melur dan cempaka.

Bunga raya bukan sekadar mampu mencantikkan landskap, malah memiliki kelebihan iaitu tidak mempunyai sebarang musim untuk berbunga selain mudah diuruskan.

Namun untuk spesies bunga terbabit di Malaysia, biasanya warna kelopak tumbuhan itu hanya terdiri daripada satu warna berbanding ketika ini terdapat spesies hibrid atau baka yang dipanggil bunga raya Taiwan yang menarik perhatian pemilik taman hiasan tempatan.

Menurut Pengasas Taman Addarossa Norsadariah Mohd Shapiai, permintaan peminat bunga hiasan terhadap baka bunga terbabit sangat menggalakkan.


KELOPAK lebih besar.

“Sebenarnya baka ini sudah lama ada di pasaran luar seperti China dan Taiwan tapi untuk Malaysia, ia ‘rancak’ sejak pertengahan tahun lalu. Malah pengumpul pengenalan (id) bunga ini sudah merebak termasuk ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia mahupun Brunei.

“Ketika ini boleh dikatakan setiap dua minggu atau sebulan sekali saya akan mengemas kini tidak kurang daripada 20 hingga ke 50 id bunga raya Taiwan untuk dibeli pemilik taman.

“Jangkaan saya daripada mula dibawa masuk pertengahan tahun ini rasanya saya sudah membawa masuk lebih 100 id bunga untuk pengumpul koleksi bunga terbabit.

“Antara menjadi buruan termasuklah Moorea My Pearl, Taiwan Daybreak, Moorea Dark Kiss, Violetta, Moorea Fickle Girl, Tahitian Molten Lava dan paling eksotik ialah King Cobra,” katanya ketika ditemui Taman Addarossa yang terletak di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.


BOLEH ditanam dalam pasu.

Berlainan dengan bunga raya tempatan kata Norsadariah, penggemar pengenalan bunga raya Taiwan biasanya tertarik dengan kombinasi warna yang unik dan corak pada kelopak.

“Kalau tengok potongan atau pusaran serta saiznya lebih besar. Sementara itu bahagian ‘fistil’ bunga berkenaan juga berlainan iaitu berbentuk batang yang berjuntai di mana memiliki stigma di hujungnya dan ada berbentuk mahkota.

“Saiznya juga kalau matang dan cukup baja, cahaya matahari serta air, apabila ia kembang penuh selepas lima hingga tujuh bulan ditanam, saiznya boleh berkembang lebih besar daripada tapak tangan orang dewasa.

“Spesies eksotik dengan gelap dan berbintik seperti King Cobra ini mempunyai warna serta corak menyamai ular itu,” katanya.

Dalam penataan taman, tanaman berkenaan sesuai dijadikan pokok hiasan bonsai atau ditanam terus pada tanah.


POTONGAN kelopak dan ‘fistil’ juga berlainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 5:35 AM