TEKNIK panel kayu mengindahkan dinding kosong.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Rumah yang dilengkapi dengan hiasan pada dinding kelihatan lebih menarik berbanding berdinding polos. Hiasan dinding juga menjadi elemen penting dalam seni rekaan dalaman hingga menzahirkan keindahan tersendiri.

Ini kerana, dinding biasanya menjadi titik tumpu dalam setiap rumah dan hiasannya yang sentiasa mencuri perhatian.

Pada dasarnya, dinding adalah tempat yang sangat strategik untuk dihias. Bahagian datar yang lebar dan tepat pada sasaran mata ini membuat dinding umpama kanvas menunggu untuk digarap.

Bagaimanapun, hiasan dinding tidak semestinya mahal dan mewah. Hasil karya tangan sendiri pun boleh dijadikan hiasan dinding sebagai menghargai kreativiti sendiri.

Bagi perunding kejuruteraan, Rawiyahtul Hasni Zaini, 39, beliau memilih untuk memasang ‘wainscoting’ atau teknik dekorasi dinding menggunakan kayu yang diukir dan ditampal pada dinding untuk menyerikan ruang dinding kosong kediamannya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Pemasangan panel kayu itu antara pilihan terbaik untuk menambahkan perincian dan dimensi pada ruang tanpa perlu membuat perubahan struktur yang rumit.


RAWIYAHTUL Hasni memilih konsep Scandinavia moden untuk kediaman kecil.

Kian diminati

Malah, teknik itu turut menggabungkan fungsi dan gaya bagi dinding dan ruang.

“Teknik dekorasi panel kayu itu sudah lama popular di luar negara dan kini semakin diminati di Malaysia. Panel kayu ini kelihatan kemas dan menarik apabila digandingkan dengan cat atau kertas dinding.

“Walaupun panel kayu ini sesuai bagi mereka yang sukakan dekorasi gaya Inggeris, dengan daya kreatif ia juga menarik diketengahkan bersama penataan moden. Hasilnya, ia menyerlahkan ruang lebih privasi di samping melindungi dinding daripada kesan calar dan kotor.

“Saya sukakan sesuatu yang ringkas, jadi saya tidak mahu sarat menghias dinding dengan lukisan, bingkai atau kraf. Apapun saya juga tidak mahu dinding kelihatan hambar dan memasang panel kayu ini,” katanya.


TINGKAP besar membolehkan banyak cahaya masuk.

Namun, memiliki rumah apartmen berkeluasan kira-kira 800 kaki persegi yang dibeli dua tahun lalu membuatkan Rawiyahtul Hasni yang juga peminat dunia dekorasi berada dalam dilema kerana memerlukan ruang untuk mencetuskan idea dekorasi diinginkan.

“Mengubah suai dan menata rias rumah bersaiz kecil boleh menjadi cabaran yang besar. Kita akan dihadapkan dengan situasi bagaimana untuk memiliki semua kelengkapan diinginkan, tapi terhad dan pada masa sama setiap ruang tetap memiliki nilai estetika tersendiri.

“Penggunaan banyak perabot menjadi satu hal yang perlu dielakkan kerana saya tidak mahu rumah ini kelihatan sarat akibat penggunaan terlalu banyak elemen dekoratif. Oleh itu, saya memilih konsep Scandinavia moden dalam dekorasi minimalis,” katanya.


MEJA makan dipisahkan dari dapur.

Wanita ini yang dibantu suami, Prof Dr Muhammad Murtadha Othman menata rias rumah itu dengan memilih warna harmoni gaya Scandinavia iaitu putih dan kelabu pucat untuk ruang tamu, dapur dan kamar tidur kerana secara visual warna berkenaan menjadikan ruang kecil lebih luas serta kelihatan bebas.

“Rona putih penting untuk gaya dalaman ini. Tujuan kehadirannya membantu meningkatkan kecerahan ruang dan mewujudkan suasana lebih tenang. Saya agak beruntung kerana pemilik lama memasang jendela besar, bererti lebih banyak cahaya semula jadi masuk.

“Saya juga tidak menutup jendela berkaca ini, sebaliknya menggunakan tirai tipis yang bertepatan dengan ciri Scandinavia itu sendiri.


MEJA bar untuk dapur kecil.

“Dari segi pemilihan perabot pula, saya menggunakan perabot dengan elemen kayu yang kebanyakannya direka berbentuk ringkas tetapi unik. Bagi membantu menghidupkan ruang dan membawa masuk udara segar, pokok hijau juga hiasan diletakkan dalam rumah,” katanya.

Rumah berukuran kecil kadang-kadang memaksa pemiliknya untuk menggabungkan ruang makan dengan dapur. Masalah yang kemudian muncul adalah dapur berukuran kecil sering kali akan terasa semakin sesak jika ditambah kaunter meja makan.

Rawiyahtul Hasni yang turut berdepan masalah ini sebaliknya meletakkan kaunter meja makan di laluan masuk dan menggantinya dengan meja bar minimalis.


RONA putih dan kelabu pucat tingkatkan kecerahan ruang.

“Saya dan suami memanfaatkan ilmu dekorasi yang dipelajari daripada rujukan pelbagai material untuk mengubah kediaman ini menjadi umpama syurga yang nyaman dan putih untuk keselesaan sekeluarga.

“Malah, kami menggelar rumah ini De Paradiso yang bermaksud syurga. Disebabkan keunikan hiasan dalaman rumah kecil ini juga, ia beberapa kali dijadikan lokasi penggambaran drama dan iklan tempatan,” katanya yang dikurniakan seorang cahaya mata berusia lapan tahun.


GAYA Scandinavia wujudkan ruang luas dan kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 11:00 AM