ANTARA peserta yang berkayuh bersama keluarga.
GELAGAT peserta yang berkayuh.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Menyahut ‘seruan’ beriadah secara sihat bersama keluarga, seramai 1,500 peminat sukan berbasikal membanjiri Bandar Proton, Tanjung Malim bagi menjayakan program ‘Jom Kayuh Mesra Alam’ yang dianjurkan PROTON Holdings Sdn Bhd (PROTON) baru-baru ini.

Kayuhan santai anjuran bersama Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) itu bermula di Kompleks Sukan Bandar Proton kira-kira jam 8 pagi menerusi pelepasan kategori 30 kilometer (km), iaitu kategori paling jauh sebelum diikuti dua lagi kategori iaitu 15km dan 800 meter khusus untuk kanak-kanak.

Biarpun peminat sukan berbasikal lazimnya sukakan aktiviti berkonsepkan perlumbaan, tetapi peluang berkayuh beramai-ramai sambil menghayati keindahan Bandar Proton itu memang cukup mengasyikkan.

Ini berikutan kawasan itu yang jauh daripada pembangunan pesat menjadikan sebahagian besar kawasannya masih kekal hijau serta menjanjikan pemandangan cukup mempersona.

Malah, rata-rata peserta yang hadir berkayuh bersama keluarga masing-masing dilihat berpuas hati apabila dapat meluangkan masa bersama-sama, sekali gus menjadi pendekatan terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Lebih menarik lagi, kayuhan itu disertai selebriti tempatan iaitu Datuk Amy Search dan Datuk Siti Nurhaliza yang turut berkayuh bersama suami Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Datuk Ahmad Fuuad Kenali berkata, penganjuran kayuhan itu dibuat berikutan persekitarannya yang menarik memberi peluang kepada peserta dari luar kawasan berkenaan untuk mengenali keunikan Bandar Proton.

Katanya, pihaknya berterima kasih atas sokongan peserta termasuk dari luar kawasan Tanjung Malim yang sanggup datang bagi menjayakan kayuhan itu.

“Kita sangat berterima kasih atas sokongan peserta baik dari Tanjung Malim, mahu pun luar kawasan yang membuktikan bahawa aktiviti ini mampu menyatukan masyarakat.

“Malah, kita berharap juga agar penganjuran kayuhan ini dapat menggalakkan warga kerja kumpulan DRB-HICOM untuk membabitkan diri serta meneruskan aktiviti yang menjurus kepada gaya hidup sihat.

“Ini kerana aktiviti sihat melahirkan insan yang bukan saja sihat daripada aspek fizikal, sebaliknya sihat daripada aspek mental,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berharap program kayuhan berkenaan dapat dipraktikkan serta diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu acara tahunan.

Katanya, hasrat itu tidak mustahil berikutan sambutan peserta amat menggalakkan seiring objektif menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Kayuhan ini adalah penganjuran program berbasikal pertama PROTON dan Bank Muamalat. Biarpun kali pertama, saya lihat sambutan cukup baik.

“Jadi, besar harapan kita mungkin ia dapat diteruskan sebagai acara tahunan kerana saya percaya ia mampu menarik kumpulan peminat sukan berbasikal sama ada yang gemarkan perlumbaan mahupun secara santai bersama keluarga,” katanya.

Menerusi kayuhan ‘Jom Kayuh Mesra Alam’ peserta tidak saja berkayuh sekitar kawasan Bandar Proton, juga bersuka ria dengan pelbagai program sampingan seperti karnival mini serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti pakej percutian, barangan elektrik, aksesori berbasikal dan hamper.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 1:22 AM