KIM Hong Myong gemar makan buah tempatan terutama mangga dan nangka.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Setiap hujung minggu, lelaki warga Jepun ini akan menaiki bas dari Petaling Jaya, Selangor menuju ke Pasar Seni, kemudian membuat pertukaran bas ke Chow Kit.

Pasar Chow Kit menjadi lokasi wajib kunjung buat Kim Hong Myong untuk mencari buah-buahan tempatan kegemarannya.

Sekurang-kurangnya dia akan membeli lima kilogram buah-buahan seperti mangga dan nangka yang juga elemen penting bagi sarapan pagi Kim.

1. Kali pertama anda datang ke Malaysia dan tujuannya?

Lapan tahun lalu, saya datang ke Malaysia bersama isteri, ibu bapa dan rakan dalam satu rombongan. Dalam percutian seminggu itu, kami sempat melancong ke Johor Bahru, Melaka dan Kuala Lumpur. Malaysia antara negara dengan pelbagai cita rasa, banyak budaya dan sejarah. Saya ingin memahami kepelbagaian itu.

Kemudian pada Jun 2016, saya menerima tawaran kerja sebagai guru bahasa di sini, justeru saya berhijrah ke sini tanpa keluarga.

Tambahan pula, saya berhasrat membuka pusat bahasa di Jepun satu hari nanti. Jadi, ini peluang untuk saya belajar sesuatu.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ke sini?

Saya tertarik untuk mengenali Asia dan Asia Tenggara dengan lebih dekat kerana kepelbagaiannya yang tersendiri.

Bagi saya, Malaysia adalah negara tenang dan tidak terlalu terburu-buru. Jadi, saya memilih untuk berada di sini.

Seperti yang saya ketahui, Malaysia didiami tiga kaum utama dan pelbagai etnik peribumi yang hidup harmoni antara satu sama lain.

3. Cabaran sepanjang berada di Malaysia?

Jika di Jepun, saya akan berjalan kaki sekurang-kurangnya 10 kilometer setiap hari tetapi di sini, sukar untuk berbuat demikian kerana tiada laluan bersesuaian.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Buat pertama kalinya saya mengikuti rombongan syarikat ke Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Kelewatan staf dan sistem hotel yang didiami membuatkan ramai pelanggan menunggu bagi jangka masa lama, termasuk saya.

Menariknya, semua pelanggan terbabit tidak sedikitpun menunjukkan rasa marah mahupun tidak berpuas hati atas kelewatan itu.

Ia juga mengajar saya berbuat demikian. Masyarakat di sini sangat bertimbang rasa dan bersabar. Ia perkara yang baik untuk diikuti. Berbanding di negara sendiri, pastinya situasi menjadi lebih genting.

5. Lokasi kegemaran anda?

Saya sangat suka pergi ke Pasar Chow Kit untuk membeli buah-buahan tempatan.

Bas adalah pengangkutan utama untuk saya bergerak di sekitar Lembah Klang.

Saya juga kerap melawat Muzium Kesenian Islam dan ia dijadikan destinasi wajib kunjung sekiranya keluarga serta teman menziarahi saya di Malaysia.

6. Makanan tempatan pilihan anda?

Saya menggemari makanan pedas. Antara pilihan saya ialah nasi ayam, mi goreng dan nasi daun pisang. Ia ringkas tetapi sangat memuaskan.

7. Malaysia pada mata anda?

Malaysia memiliki keistimewaan tersendiri, pasti membangun lebih maju dan penduduknya juga gembira menikmati kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 1:22 AM