WARTAWAN akhbar Kumpulan Utusan adalah antara 62 peserta Cabaran Kem Pangkalan Annapurna 2017.
KETUA Ekspedisi, Fazli Ahmad (kanan) dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin (tengah) berbincang mengenai laluan dengan beberapa peserta lain.
PEMANDANGAN indah Banjaran Himalaya menjadi penawar lelah selepas pendakian yang panjang.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my

Meredah trek bersalji bukan kebiasaan bagi pendaki gunung dari Malaysia, apatah lagi terpaksa menempuh ribut salji dalam perjalanan turun dari Kem Pangkalan Annapurna (ABC) selama dua jam perjalanan.

Namun, itu antara cabaran terpaksa dilalui kumpulan 62 pendaki Cabaran Annapurna Base Camp 2017 terdiri daripada pengamal media, pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meredah dua hari perjalanan turun dari ABC.

Tempoh pendakian selama empat hari ke ABC ternyata menguji ketahanan fizikal dan mental semua pendaki hingga ada yang kelihatan lesu akibat pelbagai gejala termasuk penat keterlaluan dan sindrom akut gunung (AMS) sebelum menyambung cabaran ekspedisi untuk turun pada hari kelima ke kem Sinuwa Bawah dan terus ke Siwai pada hari terakhir.

Bayangkan cabaran hanya dua hari untuk turun membabitkan perjalanan jauh kira-kira 26 kilometer pada hari kelima hingga ada sebahagian pendaki tiba amat lewat berikutan masalah tapak kaki melecet. Namun begitu, ia berjaya diharungi hingga semua selamat sampai ke destinasi rumah tumpangan Sinuwa.

Dalam keadaan kurang bermaya selepas menempuh cabaran perjalanan bersalji yang licin dan berbahaya pada hari kelima itu, mereka perlu juga bersedia untuk menghabiskan baki 15 kilometer (km) perjalanan sebelum melengkapkan ekspedisi enam hari cabaran ABC.

Biarpun ada dalam kalangan peserta merungut mengenai tempoh perjalanan turun terlalu singkat, begitulah dunia pendakian yang mempunyai cabaran tersendiri.

Mengenangkan layanan dan keistimewaan diterima semua pendaki membuatkan penulis berfikir sejenak mengenai 23 tukang angkut barang (porter) yang secara purata mengangkat bebanan 35 hingga 40 kilogram (kg) sehari dalam membantu menjayakan misi cabaran ke ABC ini menjadikan penulis lebih bersyukur.

Apa tidaknya, tanpa bantuan mereka masakan kami berjaya melengkapkan misi berkenaan yang mana kumpulan terbabit diakui turut menjadi tonggak kejayaan kami.

Perjalanan hari keenam ke kaki gunung tempat ekspedisi kami bermula memakan masa tujuh hingga sembilan jam yang menuntut semua pendaki mengharungi laluan bertangga, berbatu serta berliku sebelum tiba di Siwai.

Segala penat lelah kumpulan 62 pendaki terbalas sebaik semua tiba di kem Siwai sekali gus melengkapkan misi menakluk ABC selama enam hari yang disifatkan pada mulanya sebagai misi mustahil buat kumpulan kami serta pendaki lain.

Pengarah JBPM Sarawak, Nor Hisham Mohammad, 45, berkata kerjasama berpasukan menjadikan cabaran ekspedisi itu berjaya dilaksanakan dengan cemerlang selain pengurusan kepemimpinan penganjur memberikan 100 peratus komitmen dalam menjayakan misi berkenaan.

“Koordinasi berpasukan membolehkan pendakian sukar berjaya dilakukan. Bagi saya, ia simbolik pemimpin organisasi yang mementingkan kecergasan dan jiwa kental seterusnya dijadikan contoh kepada anak buah.” katanya, sebelum menambah keramahan penduduk setempat sepanjang pendakian serta pendaki negara lain melegakan penat lelah mereka sepanjang pendakian.

Kata Nor Hisham, hanya menyebut perkataan ‘Namaste’ iaitu salam sejahtera menjadikan mereka akrab dan ada antara mereka yang cuba untuk beramah mesra.

Benarlah, bahasa itu hanyalah simbolik pada hubungan komunikasi tetapi yang penting, hati ikhlas mampu menyatukan jiwa biarpun berlainan bangsa dan agama ketika pendakian di gunung.

Berkongsi pengalaman sama seorang peserta Khoo Hui Li, 37, berkata segala latihan dijalaninya sejak lapan bulan lalu ternyata berbaloi apabila dapat menghayati keindahan ABC dengan mata kepalanya sendiri terutama sepanjang laluan pendakian.

Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) itu berkata, kesulitan menempuh pelbagai cabaran laluan selama enam hari ternyata berbaloi.

“Saya tidak menyangka akan berjalan di trek bersalji dan mengharungi suhu 5 Celsius bawah beku. Selepas berpanas, berhujan dan berjalan sampai malam segalanya terbayar buat saya.

“Paling mengharukan adalah saat Jalur Gemilang gergasi dikibarkan dan lagu Negaraku dinyanyikan semua pendaki masa itu saya tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata kerana terlalu terharu selepas kami bersusah payah mengharunginya,” katanya.

Khoo juga memuji semangat kerjasama dan tolong-menolong dalam pasukan sepanjang ekspedisi yang digambarkan seperti adik-beradik biarpun dalam kalangan mereka datang daripada pelbagai latar belakang.

Berbekalkan semangat kental untuk mengharumkan nama negara, semua 62 pendaki berjaya menjadikan impian itu kenyataan sekali gus mencatat nama selaku kumpulan terbesar dari Malaysia menakluki ABC yang terletak di Banjaran Himalaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 1:22 AM