NOR YAHATI dan Tengku Aina bersedia untuk berkayuh bersama peserta .
SEORANG peserta membawa anak ketika berbasikal.
PBNR menghimpun aneka jenis kategori basikal.
PESERTA sempat bergambar ketika berhenti di atas satu jambatan.
SEORANG peserta wanita menunjukkan medal penamat yang diterima.
TENGKU AINA dan Nor Yahati menyampaikan basikal kepada peserta yang memenangi hadiah cabutan bertuah.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

Damai dan mengujakan. Begitu perasaan dialami sebaik berpeluang menyertai 3,000 peserta berkayuh meredah kedinginan malam di Putrajaya menerusi program kayuhan ‘Putrajaya Bridge Night Ride 2017’ (PBNR), baru-baru ini.

Mana tidaknya, kedinginan bayu malam tidak saja menjadikan kayuhan terasa sangat ‘relaks’, malah suasana malam Putrajaya yang dilimpahi lampu neon dengan pemandangan mengujakan menjadikan mata tidak henti memuji betapa indahnya landskap kawasan yang sinonim sebagai bandar dalam taman itu.

Lebih menarik lagi apabila sepanjang kayuhan sejauh 20 kilometer (km) itu, peserta dibawa merentasi lima daripada lapan jambatan ikonik di Putrajaya yang bukan saja mempunyai tarikan senibina tersendiri, malah memberikan persekitaran Putrajaya perspektif yang berbeza.

Jambatan ini menjadi penghubung lokasi penting sekitar Putrajaya yang tidak sekadar menempatkan bangunan pentadbiran kerajaan, lebih-lebih lagi lokasi yang menempatkan struktur ikonik, pusat rekreasi dan mercu tanda Putrajaya.

Dek tarikan itu, kebanyakan peserta sudah mula berkampung di sekitar Dataran Putrajaya sejak petang lagi biarpun pelepasan kayuhan hanya bermula pada jam 9 malam.

Menariknya, PBNR anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Wilayah Persekutuan (MOTAC) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Red Adventure menjadi acara perhimpunan rasmi pelbagai jenis peminat sukan berbasikal seperti road bike, mountain bike, folding bike dan fat bike.

Sepanjang kayuhan, peserta dibawa ‘menjelajah’ Putrajaya secara santai melalui laluan ‘tarmac’ sekali gus mempromosikan pakej berbasikal di sembilan laluan santai, sederhana santai serta laluan ekstrem dan laluan ‘Architecture Trail’ yang kini dalam pembangunan.

Kayuhan berkenaan turut disertai Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Tengku Aina Tengku Ismail Shah dan Pengarah MOTAC, Ahmad Alsraf Ahmad Mokhtar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Nor Yahati Awang berkata, PBNR yang sudah menjadi acara rasmi di Putrajaya memasuki tahun ketiga penganjuran menerusi konsep kayuhan secara santai.

Objektif utama adalah untuk mempromosikan Putrajaya sebagai lokasi paling sesuai untuk menjalankan aktiviti berbasikal sama ada secara santai, perlumbaan mahupun sebagai medan ujian basikal lasak.

“Dalam kalangan peminat sukan berbasikal, Putrajaya memang sudah terkenal sebagai venue selamat dan menarik bagi melaksanakan aktiviti berbasikal secara santai atau secara riadah.

“Namun, bagi yang tidak tahu, di sini juga sebenarnya ada pelbagai laluan yang sangat sesuai bagi peminat sukan basikal yang gemarkan cabaran lasak. Ada antaranya sudah lama wujud dan ada pula yang kini dalam peringkat pembinaan,” katanya.

Menurut Nor Yahati, dalam konteks kesihatan dan perhubungan sosial, sambutan peserta dalam PBNR menjadi gambaran positif bahawa masyarakat di negara ini menggemari aktiviti sukan.

Malah, sukan berbasikal ini mampu menjadi aktiviti terbaik menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Sebagai hiburan kepada peserta, sepanjang PBNR berlangsung, turut diadakan pelbagai program sampingan seperti persembahan kumpulan busker dan cabutan nombor bertuah membabitkan hadiah basikal berjenama, jersi serta aksesori berbasikal selain barangan aktiviti ‘outdoor’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:01 AM