PESERTA ceria menyertai pertandingan nasyid dalam MTQ 2017.
PESERTA bercerita kategori masalah pendengaran menyampaikan kisah menerusi bahasa isyarat.
PERINGKAT menengah mempertandingkan tulisan khat.
GURU pembimbing menjadi konduktor persembahan nasyid pelajar.
TILAWAH.
AKSI wakil SK Taman Desa 2 membuat persembahan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Tidak pernah membezakan kemampuan murid atau pelajar berkeperluan khas fokus atau tidak kepada penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Integrasi Daerah Gombak 2017. Setiap tahun acara itu dianjurkan selaras misi pendidikan negara yang mahu memberi keseimbangan aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.

Program MTQ diharap dapat memupuk dan membina minat seterusnya mencungkil bakat mereka membabitkan kemahiran al-Quran.

Tanam sifat cinta al-Quran

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Gombak Sajoli Masdor berkata, majlis MTQ ini membabitkan pelajar masalah pembelajaran serta pendengaran.

“Pelbagai acara dianjurkan bagi mengasah bakat murid berkeperluan peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah.

“Semua itu diharap dapat menanam sifat cintakan al-Quran mahupun aktiviti berunsurkan keagamaan untuk membentuk peribadi serta rohani meskipun peserta terdiri mereka golongan istimewa.

“Malah sebelum ini kalau dilihat potensi, mereka mempunyai kemampuan setara dengan pelajar normal apabila membabitkan skil mahupun persembahan.

“Selain itu kerjasama pendidik banyak membantu murid serta pelajar mengambil bahagian dan memberi saingan dalam kalangan rakan sebaya mereka.

“Kita berharap dalam senarai 30 sekolah mengambil bahagian kita dapat lestarikan bakat wakil masing-masing dapat mewakili peringkat negeri seterusnya kebangsaan. Berdasarkan rekod prestasi lalu wakil daerah Gombak berjaya mengungguli pertandingan bercerita kategori pendengaran selaku johan kebangsaan,” katanya.

Guru sentiasa membantu

Bagi wakil pertandingan nasyid Ahmad Firdaus Wajimin, 12, dia gembira apabila mempersembahkan nasyid dengan lancar.

“Memang berdebar kerana saya perlu main gendang sambil menyanyi. Saya buat seperti diajar guru bimbingan termasuk melakukan latihan sendiri di rumah setiap malam.

“Ketika latihan kami belajar ingat lirik dan bunyi lagu terlebih dulu. Ia tidaklah susah kerana untuk saya cukup empat hari sudah boleh ingat lagu dan kemudian barulah belajar bermain gendang.

“Mungkin dari segi rutin mencabar sebab sekurang-kurangnya dua minggu rakan saya berlatih untuk mengingati gerak tangan dan badan,” katanya yang juga wakil tuan rumah iaitu SK Taman Desa 2.

Mengakui guru banyak membantu ketika sesi latihan malah membimbing tatkala mula persembahan mengurangkan tekanan di atas pentas.

Bantu tingkat keyakinan

Sementara itu peserta syarahan, Siti Nur Ain Zulkifli berkata dia teruja dapat menyertai pertandingan syarahan dalam MTQ kali ini kerana mempunyai minat dalam ilmu agama.

“Melalui pertandingan kali ini saya sampaikan syarahan mengenai disiplin membentuk pelajar cemerlang. Dalam teks syarahan turut dimuatkan pandangan agama mengenai disiplin dalam solat dan semuanya berdasarkan pengalaman saya.

“Bagi saya pengalaman kali ini lebih mudah kerana ini sudah tahun kedua. Jadi saya tahu hendak sesuaikan postur serta gaya badan dengan penyampaian.

“Kalau sebelum ini lebih kaku ibarat macam robot disebabkan perasaan malu serta kekok. Tetapi kali ini jauh lebih baik kerana saya sudah tahu untuk mudahkan penyampaian. Penting saya faham isi ingin disampaikan.

“Saya amalkan berlatih membaca sambil tengok cermin sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk memastikan persembahan lancar,” katanya.

Mengakui MTQ platform membantu meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan dengan orang selain kemahiran komunikasi mahupun sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:08 AM