KEMPEN pembaziran makanan sifar anjuran Kumpulan Sunway.
KAKITANGAN hotel membungkus makanan yang masih elok untuk projek Kelaparan Sifar.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Pembaziran makanan adalah fenomena yang biasa berlaku setiap kali tiba Ramadan dan ia sesuatu yang amat menyedihkan berikutan pada bulan mulia ini sepatutnya mendidik umat Islam untuk berjimat cermat.

Lebihan makanan tidak diusik sehingga dibuang tidak hanya berlaku di premis makanan yang menyediakan bufet tetapi juga berlaku di rumah dan bazar menjual juadah berbuka puasa.

Kajian syarikat pengendali sisa pepejal Solid Waste Management Corporation (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia membuang purata 17,800 tan makanan sehari amat menggerunkan.

Malah, kajian sama mendapati setiap kali Ramadan rakyat Malaysia membuang purata 270,000 tan makanan tidak diusik dan boleh dimakan semula yang jika disusun menyamai 30 kali ketinggian KLCC.

Bagi mengelakkan makanan itu menjadi penghuni tong sampah, Kumpulan Sunway melancarkan inisiatif pembaziran makanan sifar atau #ZEROFOODWASTAGE membabitkan lebihan makanan daripada bufet Ramadan yang disediakan Sunway Resort Hotel & Spa, baru-baru ini.

Inisiatif berkenaan dijalankan dengan kerjasama Persatuan Kechara Soup Kitchen yang mengurus dan mengagihkan lebihan makanan itu kepada golongan yang lebih memerlukan seperti gelandangan dan keluarga susah di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Kempen itu yang memasuki tahun kedua adalah cetusan idea Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menghentikan pembuangan lebihan makanan sepanjang Ramadan terutama dari hotel yang menyediakan perkhidmatan bufet.

Matlamat kelaparan sifar

Penolong Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran Jenama dan Komunikasi Sunway, Bernard Paul Netto berkata, mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sebahagian usaha Kumpulan Sunway untuk menyelaraskan operasi perniagaan dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan #ZEROFOODWASTAGE menumpukan kepada matlamat kedua iaitu Kelaparan Sifar.

“Inisiatif ini menandakan acara pertama tahun ini bagi Program Makanan Sunway yang terdiri tiga komponen yang semuanya menumpukan untuk mencapai matlamat SDG iaitu Tiada Kemiskinan dan Kelaparan Sifar.

“Kumpulan Sunway juga bekerjasama dengan organisasi antarabangsa, Rise Against Hunger, bagi menyediakan makanan bungkus. Sukarelawan kami akan menyediakan sebanyak 240,000 pek makanan berkhasiat dari hotel kumpulan ini di Bandar Sunway, Pulau Pinang, Johor dan Perak sempena sambutan kemerdekaan Ogos depan.

“Kami juga akan mengumpulkan barangan dapur sumbangan kakitangan yang akan diagihkan kepada golongan susah,” katanya.

Galak kerja amal

Bagi kakitangan Kumpulan Sunway, Mohd Nazrin Zanurin, meskipun baru kali pertama menyertai program sedemikian, dia tidak kekok malah rasa bangga kerana dapat membantu golongan yang tidak bernasib baik.

“Program ini memberi kesempatan kepada saya untuk mendekati masyarakat terutama golongan susah. Saya berpeluang menyelami kehidupan mereka yang berada dalam kesempitan sehingga tidak mampu menyediakan makanan yang cukup.

“Secara tidak langsung ia menimbulkan kesedaran dalam diri untuk menghargai perkara yang berada di sekeliling dan pemikiran positif ini akan saya bawa ke alam kerja untuk melakukan tugas dengan sempurna,” katanya.

Katanya, dia berharap lebih ramai generasi muda tampil dalam kerja amal untuk membantu golongan yang serba kekurangan daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah.

Tak jemu buat kebajikan

Rakan sekerjanya, Vijaya Rani Vimalarajah, 43, berkata dia terbiasa melakukan aktiviti kebajikan apabila sering membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan dan berhasrat terus menyambung amalan mulia itu selagi mampu.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang serba-serbi cukup, oleh itu saya berpendapat apa salahnya saya memberi sumbangan kepada orang lain yang tidak berkemampuan.

“Dengan membabitkan diri dalam kerja amal sebegini, ia membantu saya menghulurkan bantuan diperlukan bukan saja dalam bentuk wang ringgit, malah tenaga. Saya juga seronok kerana dapat berkenalan dengan sukarelawan lain yang mempunyai minat sama,” katanya.

Vijaya Rani juga berharap lebih banyak syarikat tampil melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana aktiviti kebajikan juga boleh dijadikan sebagai motivasi kepada kakitangan untuk meningkatkan prestasi kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:03 PM