ANTARA formasi dipersembahkan.
ANTARA gerakan kawad pasukan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Depaan tangan selari, selain kaki melangkah serentak menjadi pembukaan kemas buat pasukan Kadet Remaja Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail ketika memulakan rutin kawad di Padang Kawad Kompleks PALAPES Universiti Malaya, baru-baru ini.

Mereka tampil dengan formasi unik, selain gimik ‘slapstik’ apabila seakan-akan terjatuh di pertengahan rutin jelas meraih sorakan pe­ngunjung Pertandingan Kawad Kaki Badan Beruniform Sekolah-Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Pasukan itu sudah dikenali dengan reputasi tinggi apabila muncul johan kategori pasukan KRS dua tahun berturut-turut selain ketua pasukannya muncul ketua platun terbaik.

Mahu mengekalkan tradisi kejuaraan milik sekolahnya, Ketua kontinjen KRS SMK Taman Tun Dr Ismail, Muhammad Hafis Ridwan tidak menafikan dia memikul tanggungjawab berat.

“Kalau bercakap mengenai debaran, seawal masuk padang kawad lagi tekanan sudah dirasai apatah lagi kami dilihat antara pesaing hebat dalam kategori pasukan KRS.

“Mereka sentiasa nantikan formasi luar jangkaan dan dramatik berdasarkan prestasi ‘senior’ kami yang sebelum ini sering tampil dengan gerak gaya unik. Idea ini semua sumbangan rakan sepasukan dibantu jurulatih untuk memperkemaskan.

“Kami mahu sampaikan rutin menarik selain tidak menolak mesej penting seperti ‘remaja bebas dadah’ dan ‘katakan tak nak pada rokok’ memberi idea kepada rutin ditampilkan,”katanya.

Bukan tugas mudah, latihan konsisten malah lebih giat menjelang hari pertandingan iaitu setiap hujung minggu menagih komitmen tinggi pasukannya.

“Saya berterima kasih dengan rakan pasukan yang memberi banyak sokongan dan kerjasama apabila tidak pernah ponteng berlatih, selain sanggup menempuh cuaca latihan panans apabila diadakan pada waktu petang.

“Boleh dikatakan kami seronok dan tidak berasa tertekan. Hasrat kami agar pasukan kami dilihat sebagai pencabar hebat dalam senarai pasukan datang bertanding. Impian tentu saja setelah kerja kuat, kami mengharapkan pasukan kami menang dan boleh menyertai kejohanan kawad kaki peringkat kebangsaan andai dianjurkan tahun ini,” katanya.

Sebalik suara garau lelaki memberi arahan, ketua pasukan wanita tidak segan melontarkan suara nyaring mereka dalam memberi arahan dalam pertandingan kawad kaki terbabit.

Antara yang menonjol ialah wakil Kadet Polis SMK Taman Tun Dr Ismail, Siti Nurmaisarah Zainal yang tampak tenang memberikan arahan kepada platunnya. Mengakui berkat latihan padat dan mahu berada dalam kelompok terbaik membuat­kan dia tidak goyah ketika memberi arahan.

“Sesi pasukan kami masuk padang sekitar jam 11 pagi sudah sangat terik. Tambah pula kena memakai seragam tebal bersama aksesori kadet membuatkan ada kalanya kurang selesa.

“Tetapi kami perlu kekal kemas dan menepis semua cabaran termasuklah cuaca panas untuk bergelar pasukan terbaik. Bukan kami saja, malah pasukan lain turut berdepan cabaran ini. Membezakan sejauh mana kami fokus dan memberikan persembahan baik ketika bertanding,” katanya.

Tidak menafikan pelbagai cabaran perlu ditempuh termasuklah sebilangan ang­gota berdepan masalah kesihatan kerana latihan, ekstrem, dia bersyukur semua dapat memberi kerjasama.

“Lihat saja kulit kami gelap akibat terlalu lama berjemur ketika latihan selain penat apabila terpaksa berlatih dalam tempoh lama. Namun, disebabkan semua minat dan sukakan aktiviti berkawad, mereka tidak kesah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjayakan persembahan formasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu Pengasas KRS Malaysia, Ahmad Farazila Abdul Ghani berkata, penganjuran pertandingan kali ini membabitkan 75 pasukan merebut kejohanan untuk tiga kategori dipertandingkan iaitu KRS, Badan Beruniform Agensi Kerajaan (GO) dan Badan Beruniform Bukan Kerajaan (NGO).

“Secara keseluruhan, 2,550 peserta daripada 23 pasukan KRS, 22 pasukan GO dan 23 pasukan NGO. Semua ialah sekolah bawah Kementerian Pendidikan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Mereka akan dinilai berdasarkan pakaian, kemantapan kawad, formasi termasuklah bunga kawad. Mereka perlu kreatif tetapi tidak mengabaikan gerakan asas dalam kawad kaki berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola pertandingan yang juga Pengetua SMK Taman Tun Dr Ismail, menyifatkan pertandingan berkenaan penting meskipun tahun ini berdepan dengan kekangan dana.

“Sokongan daripada sekolah terutamanya yang menghantar penyertaan selain inisiatif jawatankuasa mendapat­kan tajaan membolehkan penganjuran pertandingan kawad kaki peringkat negeri diteruskan.

“Pentingnya, pertandi­ngan ini terus dianjurkan kerana impak langsung dapat dilihat terhadap Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pelajar yang mana mereka dapat mengumpul mata untuk penilaian itu. Impak lain adalah terhadap disiplin serta prestasi pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:04 PM