PULUHAN ribu wanita pernah berlatih ninjutsu sejak kali pertama seni tempur itu diperkenalkan di Iran 22 tahun lalu.

Imej wanita Iran tangkas bermain senjata mungkin kelihatan seperti adegan dalam filem aksi Crouching Tiger, Hidden Dragon, tetapi kumpulan ini sebenarnya ninja terlatih.

Melibas senjata tajam sambil melompat dan melakukan aksi bahaya adalah antara latihan dalam seni mempertahankan diri ninjutsu yang popular dalam kalangan murid perempuan.

Di pusat latihan yang dibuka sejak 1989 dan berpangkalan di istana Jughin, kira-kira 40 kilometer dari Teheran ini, terdapat 4,000 wanita yang menjalani latihan untuk menjadi kunoichi atau ninja wanita.

Di situ mereka belajar memanjat dan melompat melepasi dinding, bersembunyi di kawasan pergunungan serta mematahkan leher lawan tanpa sebarang bunyi.

Jurulatih ninjutsu, Fatima Muamer berkata, selain untuk mempertahankan diri, seni itu juga membantu mengekalkan keseimbangan badan dan minda.

Iran mewajibkan lelaki berusia 18 tahun menjalani latihan ketenteraan selama 18 bulan, sekali gus latihan kunoichi dianggap sangat berguna untuk golongan wanita.

Fatima berkata, pengajaran paling penting dalam ninjutsu adalah rasa hormat dan rendah diri.

“Mereka perlu belajar menghormati diri sebelum menguasai seni mempertahankan diri ini.

“Ketenangan juga pengajaran paling penting yang mereka perlu pelajari,” katanya.

Pelajar diajar menggunakan senjata berbahaya termasuk panah, pedang dan senjata tradisional Jepun yang lain.

Akbar Faraji adalah orang pertama yang memperkenalkan ninjutsu di Iran apabila menubuhkan kelab itu 22 tahun lalu yang kini mempunyai 24,000 ahli.

Akbar berkata, dalam ninjutsu, lelaki digelar ninja manakala wanita dikenali sebagai kunoichi.

“Menjadi ninja memerlukan kesabaran, toleransi dan ketabahan. Secara umumnya ia boleh digambarkan sebagai ubat.

“Sama seperti racun ular, walaupun pada hakikatnya berbahaya tetapi dalam masa sama boleh menjadi penawar juga,” jelasnya.

Ninjutsu dianggap sebagai antara bentuk seni tempur berbahaya dan dikaitkan dengan ejen rahsia serta tentera upahan yang pakar pembunuhan antara 1185 dan 1868.

Seorang pelatih di kelab itu, Melika memberitahu, dia menjadikan seni mempertahankan diri itu sebagai falsafah hidup.

“Ia membantu kami mengatasi kesusahan, menjadi penyabar, kuat dan berdisiplin,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:04 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »