ORANG ramai berkumpul di tempat bersejarah Dataran Trafalgar.
KIOS basikal untuk disewa boleh ditemui hampir di setiap lokasi menarik kota London.
BASIKAL yang ditinggalkan di stesen Earl’s Court, London.
BASIKAL menjadi pilihan terbaik bagi pelancong yang ingin menyusuri kota London.
LALUAN khas untuk basikal.
PENULIS berada di Oxford Streets, London yang menjadi pilihan penggemar barangan berjenama.
PENULIS di hadapan menara jam Big Ben yang menjadi ikon kota London.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Berbasikal pada suhu beku. Itu memori berharga penulis apabila berkesempatan mengayuh basikal di tengah kota London yang terkenal dengan kepesatan populasi lebih lapan juta penduduk. Melakukan aktiviti berbasikal di tengah kota raya yang luasnya lebih enam kali ganda berbanding Kuala Lumpur semestinya tidak pernah terlintas di fikiran penulis.

Apatah lagi dengan kemudahan sistem pengangkutan awam di kota metropolitan itu yang diketahui sangat maju, cekap dan selesa.

Penulis berkunjung ke London bagi mengikuti program klinik kejurulatihan bola sepak Air Asia - Queen Park Rangers (QPR), tidak melepaskan peluang melawat beberapa tempat bersejarah yang sebelumnya hanya boleh dilihat menerusi kaca televisyen ataupun menerusi dunia maya.

Bagaimanapun, ketika mahu memulakan hasrat ‘menakluki’ kota raya itu, penulis hampir berputus asa meneruskan perjalanan berikutan keadaan jalan yang sesak selain perkhidmatan tren dibanjiri orang ramai yang berpusu-pusu ke destinasi.

Namun, sebaik melihat kewujudan perkhidmatan sewaan basikal dan laluan khas basikal yang cukup efisien hampir di setiap pelosok jalan di kota raya itu, membuatkan penulis tertarik untuk berbasikal dengan kadar sewaan hanya £2 (RM11) untuk tempoh 24 jam.

Apa yang lebih menarik apabila melihat penggunaan basikal di negara itu menjadi perkara biasa berbanding di Malaysia yang hanya dijadikan alat untuk beriadah atau bersukan. Bukan saja masyarakat tempatan, malahan pelancong juga dilihat cenderung memilih pengangkutan itu sebagai ‘penghubung’ untuk menyusuri tempat menarik di kota tumpuan dunia itu.

Jika di Malaysia faktor cuaca akan menjadi penghalang untuk aktiviti itu, namun di sini udara yang sejuk dalam lingkungan 0 hingga 5 darjah Celsius membuatkan penulis selesa mengayuh basikal selain membantu ‘memanaskan’ badan.

Ditambah lagi dengan proses sewaan secara layan diri yang mesra pengguna, hanya beberapa langkah mudah dilakukan di mesin kios stesen basikal yang terletak hampir setiap 100 meter setiap stesen. Apa yang menarik basikal boleh dipulangkan di mana-mana stesen lain mengikut pilihan destinasi pelancong.

Sekiranya mahu menggunakan semula basikal, penulis hanya perlu memasukkan kod pendaftaran di mesin kios dengan syarat tidak melebihi tempoh 24 jam. Bagi aspek keselamatan pula, setiap jalan raya di pusat bandar dilengkapi laluan khas untuk penunggang basikal.

Mungkin sudah menjadi kebiasaan pengguna jalan raya di kota London ini, mereka sering memberi keutamaan dan laluan kepada basikal di atas jalan. Perjalanan penulis bermula dengan menggunakan sistem kedudukan global (GPS) di telefon pintar sebagai pandu arah selain teman setia penulis iaitu peta.

Tempat pertama yang dituju adalah Trafalgal Square, iaitu dataran luas dengan arca seni bina mengagumkan serta menyimpan 1,001 sejarah dunia. Berdiri di tengah dataran itu, penulis dapat lihat orang ramai dari pelosok dunia berkumpul dan mengambil gambar sebagai kenangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Selepas beberapa minit berehat, penulis tidak melepaskan peluang bergambar di tempat wajib iaitu di hadapan Istana Buckingham yang menjadi tarikan pelancong.

Di sini, penulis diberitahu sekiranya bendera Union Jack dikibarkan, ia bermaksud Ratu Elizebeth II tidak ‘bersemayam’ di istana berkenaan sebaliknya apabila bendera ‘Royal Standard’ dikibarkan pula bermaksud Ratu England itu berada dalam Istana Buckingham.

Perjalanan diteruskan lagi dengan melawat Bangunan Parlimen dan Menara Big Ben di sudut Palace of Westminster. Bangunan setinggi 96 meter yang berdiri kukuh sejak 1855 menjadi ikon dan kebanggaan rakyat England. Kebanyakan cenderamata yang dijual juga menggunakan reka bentuk ‘Big Ben’ sebagai tarikan utama pelancong.

Akhirnya, matahari mula berlabuh dan cuaca yang mencecah 2 darjah Celsius membuatkan penulis berhenti seketika untuk membeli secawan coklat buat memanaskan badan berhampiran Menara Big Ben.

Selepas berehat kira-kira sejam sambil melihat gelagat pelancong yang lalu lalang, penulis kembali memulakan perjalanan pulang ke hotel di Jalan Lexham Gardens, Kensington.

Setibanya di hotel kira-kira jam 8 malam, penulis ‘memarkir’ semula basikal yang disewa sebelum menyedari sebenarnya sudah mengayuh lebih 25 kilometer. Hampir setiap pelosok kota raya itu sudah disusuri penulis dan ternyata kota metropolitan yang juga antara bandar tertua dunia itu menyimpan pelbagai khazanah sejarah dunia.

Walaupun kepenatan selepas seharian berbasikal, namun ia satu pengalaman manis yang sukar dilupakan penulis lebih-lebih lagi mengayuh basikal seorang diri di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 2:54 AM