PESERTA Fat Bike mengerah tenaga.
PERLUMBAAN bermula dari Muzium Adat, Kuala Klawang.
Nor Hanisah Kamaruzaman
metahad@hmetro.com.my


Berbasikal sambil menikmati keindahan panorama desa dan menghirup udara segar alam semula jadi memang pengalaman mengasyikkan.

Itu yang dapat digambarkan apabila menyertai perlumbaan NS Nature MTB Jamboree Jelebu membabitkan trek sepanjang 38 kilometer (km).

Walaupun fokus utama untuk terus mengayuh dan melepasi garisan penamat, namun rata-rata peserta turut berkesempatan menikmati keindahan pemandangan sekitar kampung yang mendamaikan.

Dianjurkan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dengan kerjasama Jelebu Cycling Association dan tajaan minuman IQ Radius Sdn Bhd, perlumbaan disertai hampir 1,000 peserta.

Perlumbaan bermula 8.30 pagi di Muzium Adat, Kuala Klawang itu dilepaskan Pengurus Besar LPNS, Baharudin Jali.

Peserta dibawa menjelajah sekitar kawasan perkampungan di Kuala Klawang, Jelebu dengan laluan ‘berturap’ dan ‘lasak’ bersilih ganti.

Perlumbaan yang menggabungkan laluan lasak dan relaks itu secara tidak langsung membuatkan perjalanan tidak terasa sukar.

Kebanyakan peserta menganggap perlumbaan satu pengalaman baru dan menarik kerana berpeluang menghayati kawasan sekitar yang jarang diteroka sebelum ini.

Perlumbaan bermula dengan melalui jalan turap sebelum melintasi kawasan berbukit dan laluan sempit di Kampung Bukit hingga ke Kemin Tanjung.

Peserta seterusnya memasuki kawasan Kampung Gagu dan menyelusuri laluan lasak dan sempit menuju ke Taman Berlian sebelum melalui kawasan jalan turap di Bandar Tinggi.

‘Check point’ pertama dilepasi selepas 17km sementara yang kedua selepas melalui 32km. Stesen air pula diletakkan di km 13 dan km 26.

Menurut Baharudin, program berbasikal bersiri itu diadakan bagi memperkenalkan lokasi pelancongan sekitar Negeri Sembilan.

“Tahun ini memasuki tahun keempat penganjuran NS Nature MTB Jamboree dan ia diadakan bagi mengetengahkan tempat menarik sekitar negeri ini.

“Bagi tahun ini juga, kami jalankan perlumbaan di tiga lokasi terpilih iaitu Gemas, Jelebu dan akan datang di Seri Menanti,” katanya.

Menurutnya, peserta pasti tidak jemu mengikuti ketiga-tiga perlumbaan kerana setiap lokasi menampilkan keunikan dengan pengalaman berbeza.

“Sebelum ini, perlumbaan diadakan di atas landasan kereta api di Gemas dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan mengajak peserta meninjau tempat bersejarah itu.

“Kali ini, kami bawa peserta yang rata-rata dari sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Lembah Klang menyedut udara segar serta meninjau keindahan alam semula jadi di Jelebu.

“Menariknya, kawasan Jelebu bukan saja menawarkan laluan yang sesuai untuk berbasikal tapi ia begitu dekat dengan landskap menghijau. Suasana pagi di sini penuh dengan kabus,” katanya.

Menurut Baharudin, peserta yang mengikuti ketiga-tiga siri perlumbaan juga berpeluang menerima pingat ‘puzzle’ lengkap selain layak bertanding untuk masa perlumbaan terkumpul.

Pihaknya juga berharap dengan penganjuran di Jelebu dapat membuka mata pengunjung dan peserta menjadikan daerah Jelebu lokasi percutian hujung minggu.

“Terdapat pelbagai tarikan eko pelancongan di sini yang mungkin belum pernah diterokai antaranya Air Terjun Jeram Toi dan Hutan Lipur Lata Kijang.

“Kawasan perkampungan sekitar juga turut mengetengahkan pengalaman percutian di kampung dan inap desa,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang Datuk Yunus Rahmat turut hadir bagi menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah.

Menariknya perlumbaan kali ini turut disertai pelumba dari United Kingdom dan berjaya meraih gelaran juara selepas menjadi peserta pertama tiba di garisan penamat iaitu seawal jam 9.40 pagi.

Peserta yang berjaya menamatkan kayuhan mengikut dalam tempoh masa 2 jam 30 minit menerima pingat manakala 10 peserta terawal menerima trofi dan hadiah.

Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan membabitkan Lelaki Junior (14 hingga 18 tahun), Terbuka Lelaki (19 hingga 34 tahun), Master Lelaki Junior (35 hingga 44 tahun), Lelaki Master (45 hingga 54 tahun), Wanita Junior (14 hingga 18 tahun), Terbuka Wanita (19 hingga 34 tahun), Master Wanita Junior (35 hingga 44 tahun), Terbuka Fat Bike (14 hingga 35 tahun) dan Senior (36 tahun ke atas).

Selain perlumbaan, acara cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai barangan istimewa seperti basikal, mesin basuh dan televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:17 AM