KHUSYUK mendirikan solat.
ANTARA pembimbing dan murid aliran PPKI.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Aktiviti perkhemahan adalah acara tahunan wajib pihak sekolah bagi memberi pengalaman berdikari, selain membentuk disiplin serta kepemimpinan pelajar.

Tidak terkecuali Sekolah Kebangsaan Taman Desa 2 menganjurkan program membabitkan badan beruniform iaitu Pengakap, Pandu Puteri, Bulan Sabit dan Puteri Islam di premisnya di Rawang, Selangor.

Perkhemahan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran murid Program Pendidikan Khas Integrasi Masalah Pembelajaran dan Masalah Pendengaran (PPKI).

Amalan berdikari

Bagi Penyelaras PPKI sekolah berkenaan, Ruzaini Mustapha, program dua hari satu malam itu pendedahan baik buat muridnya mengenai amalan berdikari.

Kata Ruzaini, peserta PPKI mengikuti modul sama dengan aliran perdana merangkumi berkhemah, memasak makanan rimba dan aktiviti luar.

“Seperti murid aliran perdana sekolah ini mengikuti aktiviti perkhemahan, modul itu turut diikuti murid pendidikan khas. Bagitupun ada perbezaan dari segi pelaksanaan mahupun kaedah untuk pelajar aliran khas.

“Sebagai contoh ketika memasak, kalau peserta biasa kita cuma beri arahan hidupkan api, sebaliknya bagi murid istimewa kita perlu sesuaikan mengikut tahap mereka iaitu dengan bekalkan getah, longgokan kayu atau barang bersesuaian untuk selesaikan tugasan berkenaan.

“Uniknya, ada antara mereka mampu menghidupkan api tanpa bantuan guru pembimbing ketika aktiviti terbabit dilaksanakan. Malah ada membantu rakan mereka mengenai kaedah menghidupkan api dengan betul.

“Modul lain seperti aktiviti luar serta memasak, kami (guru) juga tidak berdepan masalah mendapatkan kerjasama kerana mereka gembira mengikuti aktiviti sepanjang perkhemahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ruzaini, yang sukarnya mendapat kepercayaan ibu bapa yang tidak pernah membenarkan anak bermalam di luar rumah.

Teruja berkhemah

Bagi peserta, Ataus Sameen Deen Hamzah, perkhemahan ini pengalaman baik buatnya kerana banyak perkara baru dipelajari.

“Biasanya rutin saya, selain belajar di sekolah, aktiviti di rumah biasa saja seperti menonton televisyen, berbual-bual dengan keluarga dan bemain bersama teman.

“Tetapi dalam perkhemahan ini, saya melakukan perkara baru. Saya teruja kerana berpeluang memasak, memasang khemah dan menghasilkan layang-layang.

“Menarik mengenai layang-layang bukan saya tidak pernah main cumanya di sini saya menghasilkan sendiri. Biarpun gagal terbang, saya tidak kecewa tetapi lebih semangat untuk membuatnya pada lain masa. Dengan kemahiran ini saya tidak perlu lagi beli untuk bermain tetapi hasilkan sendiri. Ia lebih menjimatkan,” katanya.

Tambah Ataus, biarpun terpaksa tidur di dalam khemah tanpa ditemani ibu bapa, dia tidak takut sebaliknya teruja dengan pengalaman bermalam di luar.

“Saya tidak pernah berkhemah dan ini pengalaman pertama saya tidur bersama kawan.

“Rasanya sangat berbeza dan saya serta kawan tidak takut sebaliknya kami seronok berbual sehingga awal pagi,” katanya.

Sering bantu-membantu

Murid kategori masalah pembelajaran, Natasya Nasir pula berkata, memori ini pasti dirindui kerana tahun depan dia menginjak ke sekolah menengah.

“Kalau boleh saya hendak sertai program ini lagi tetapi peluang itu tidak mungkin kerana saya sudah ke sekolah menengah.

“Semestinya saya akan teringat kenangan seperti memasak, kesusahan menghidupkan api dan paling penting saat gembira ketika aktiviti bersama kumpulan.

“Saya belajar untuk berbincang dan menyelesaikan tugas bersama dengan panduan guru. Itu juga membantu saya berjaya melaksanakan semua aktiviti dengan lancar,” katanya.

Menyentuh slot menarik buatnya, kata Natasya, sesi malam iaitu modul cabaran menguji kerjasama antara ahli kumpulan.

“Dalam aktiviti cabaran, kami diminta menyelesaikan tugasan berhalangan. Kalau salah seorang gagal, yang lain juga tidak dapat tidur.

“Kerana itu kami sering membantu antara satu sama lain termasuk memberi sokongan kepada rakan menghadapi masalah untuk memahami tugasan. Ia merapatkan hubungan kami,” katanya.

Guru Besar SK Taman Desa 2, Siti Rohana Saabin berkata, dia gembira dengan potensi pelajar aliran PPKI sepanjang program.

“Kami tidak pernah membezakan murid aliran PPKI mahupun arus perdana dalam aktiviti sekolah. Kami berusaha menyediakan persekitaran mesra untuk kedua-dua aliran ini saling berinteraksi.

“Malah peluang melihat mereka gembira melakukan tugasan seperti memasak, aktiviti cabaran mahupun bergaul dengan rakan membuatkan tiada bezanya murid ini dengan murid normal.

“Secara tidak langsung menunjukkan mereka mempunyai potensi. Harapan kami, lebih ramai pihak luar tampil berkongsi mengenai skil mampu memperkembangkan potensi mereka dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:21 AM