PESERTA kategori kayuhan santai.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Pemilihan Rumah Api Tanjung Tuan sebagai simbolik penganjuran Cape Rachado Cycling Challenge 2017 (CRCC 2017) tepat berdasarkan sejarah pembinaannya sekitar 1863, rumah api tertua di negara ini.

Pertandingan kayuhan basikal CRCC 2017 anjuran Jabatan Laut Malaysia bersama Seafarer Management Centre (SMC) dan Kementerian Pengangkutan sempena sambutan Hari Maritim Sedunia, baru-baru ini.

Penganjuran julung kalinya ini menetapkan jarak kayuhan sejauh 120 kilometer, bermula dan berakhir di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.


ANTARA peserta wanita yang menyertai CRCC 2017.

Laluan CRCC 2017 merangkumi Pasir Panjang, Linggi, Pedas, Rantau, Seremban, Siliau, Si Rusa dan Teluk Kemang.

Cabaran ini menerima penyertaan 240 peserta bagi enam kategori iaitu Elit, Terbuka Lelaki, Master A, Master B, Terbuka Wanita dan Berpasukan

Selain itu, ada juga kayuhan santai yang terbuka kepada orang ramai dan membabitkan 70 peserta dengan jarak 30 kilometer.

Tepat jam 7.30 pagi, Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia, Datuk Baharin Abd Hamid dan Pengarah SMC, Kapten Zuraidi Zainol Abidin melakukan pelepasan CRCC 2017.

Menurut Baharin, CRCC 2017 diadakan bagi meraikan Hari Maritim Sedunia yang disambut pada minggu ketiga September setiap tahun.


PESERTA memeriksa basikal selepas menamatkan kayuhan.

“Tema Hari Maritim Sedunia tahun ini adalah ‘Connecting Ships, Ports dan People’, kita lihat sukan berbasikal ini dapat mewujudkan hubungan lebih erat.

“Respons diterima hari ini disifatkan positif biarpun ini kali pertama kita menganjurkan acara berbasikal peringkat nasional.

“Demi memastikan program berjalan baik, kita menghargai kerjasama pihak berkuasa tempatan.

“Penyertaan daripada pemain industri maritim juga menghasilkan kerjasama baik pada masa depan.

“Ia mampu memantapkan lagi industri maritim yang sememangnya penting kepada rangkaian pengangkutan eksport import serta ekonomi negara,” katanya selepas menamatkan kayuhan santai.


KONGSI kegembiraan menamatkan kayuhan.

Mengulas pemilihan Cape Rachado sebagai ikon cabaran ini, beliau mengakui ia bertepatan dengan sejarah dan fungsi rumah api tertua yang menjadi rujukan bagi laluan kapal di Selat Melaka.

Sementara itu, Zuraidi berkata pihak SMC mengambil masa kira-kira dua bulan demi memastikan kelancaran CRCC 2017.

Katanya, pihak penganjur turut berhasrat menjadikan program kayuhan basikal sempena Hari Maritim Sedunia sebagai satu acara tahunan di lokasi berbeza.

CRCC 2017 turut mendapat penyertaan daripada atlet tanah air, kelab berbasikal profesional dan korporat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:37 AM