ARTIS baru berpeluang menonjolkan bakat mereka menerusi program khusus.
LUKISAN grafiti lorong belakang ubah persepsi lokasi jadi tumpuan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Kawasan lorong belakang sering dikaitkan dengan lokasi yang kotor, tidak terurus dan tidak selamat.

Namun, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berusaha mengubah suasana lorong belakang khususnya di kawasan komersial menjadi tempat yang selamat, bersih dan boleh dilawati pengunjung.

Menerusi Program Pengindahan Lorong Belakang, lorong belakang kawasan komersial di Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, Shah Alam dipilih untuk dinaik taraf kerana ia tumpuan orang ramai dan pesat membangun sejak 2014.

Selepas pengindahan berkonsep seni jalanan, lorong belakang itu dikenali sebagai Laman Seni 7 dan boleh dilawati serta dijadikan lokasi penganjuran sebarang aktiviti bermanfaat antaranya lukisan grafiti, persembahan muzik jalanan (busking) dan jualan kraftangan.

Pusat aktiviti seni budaya

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, pihaknya ingin mengubah tanggapan negatif masyarakat terhadap kawasan lorong belakang agar mengubah kawasan berkenaan.

“Bagi membolehkan Laman Seni 7 menjadi tarikan dan produk pelancongan, MBSA menganjurkan program Warna iaitu aktiviti kesenian dan kebudayaan bertemakan bakat jalanan dengan menjemput artis berkaitan membuat persembahan.

“Program itu menyemarakkan aktiviti seni budaya, memberi peluang kepada golongan kreatif berkarya dan memperkasakan bandar raya ini sebagai kota seni,” katanya.

Menurutnya, bakat muda perlu merebut peluang mengembangkan bakat seni mereka menerusi ruang yang disediakan MBSA.

Ujarnya, ia boleh dijadikan tempat untuk menonjolkan diri sebagai artis berbakat besar yang mampu mencipta kejayaan dalam negara atau di persada antarabangsa.

Ketengah bakat seni baru

Artis beatbox, Alif Danial Abdul Mutalib, 16, menyifatkan peluang dan ruang yang disediakan MBSA menerusi program Warna mampu memberi harapan kepada anak muda yang mempunyai bakat dalam seni bahawa golongan itu boleh diketengahkan dan seterusnya membina kerjaya dalam bidang berkenaan.

Beliau yang sudah tiga tahun terbabit dalam seni yang menumpukan kepada kebolehan menghasilkan nada dengan kemahiran menggunakan mulut berminat dengan bidang itu kerana merasakan ia unik.

“Saya tertarik dengan beatbox selepas melihat rakan sekelas membuat persembahan di sekolah. Kagum dengan kebolehannya menghasilkan bunyi-bunyian bermuzik hanya menggunakan mulut mendorong saya untuk mempelajari cabang seni ini.

“Selama sembilan bulan saya belajar seni beatbox menerusi rakan sekelas, selain menonton aksi beatboxer lain menerusi YouTube. Saya juga berpeluang mendalami seni ini menerusi beatboxer lain seperti vol-khai-no,” katanya.

Alif Danial yang menggunakan nama pentas, H-Lifts, sudah beberapa kali membuat persembahan di karnival dan merancang untuk serius dalam bidang seni berkenaan.

Sambut baik langkah MBSA

Bagi penari muda dari Wakaka Crew, Mohammad Saiful Amri Abdullah, 19, dia menyambut baik langkah MBSA menjadikan lorong belakang sebagai medan artis dalam pelbagai bidang mengembangkan karya dan bakat seni ke masyarakat umum.

Dia yang terbabit dalam seni tarian sejak berusia 10 tahun berkata, dalam bidang seni ia bukan boleh terus berjaya dalam masa singkat dan manfaat program Warna memberi golongan sepertinya peluang mengembangkan bakat sejauh yang boleh.

“Program ini platform khusus bagi pada bakat muda seperti saya mempamer dan menawarkan bakat.

“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada penggiat seni untuk saling mengenal, menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan mendapat inspirasi antara satu sama lain.

“Inilah peluang bakat muda meneroka bidang seni lebih luas dengan menonjolkan kebolehan yang ada.

“Lokasinya di kawasan komersial juga membolehkan pengunjung selain membeli-belah, dapat berhibur dengan persembahan seni daripada artis tempatan terutama mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia seni,” katanya.

Mohammad Saiful berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lain turut membina lapangan bersesuaian supaya seni dapat terus mekar dan menjadi tumpuan pelancong ke kawasan pentadbiran majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 8:58 AM