NASI buluh sajian istimewa dapat permintaan ramai.
KHAIRUL Adzhar (kiri) dan pekerjanya menunjukkan set nasi buluh ikan bawal dan kambing bakar.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my


Nasi ditanak dalam buluh kini boleh dinikmati di Pulau Mutiara apabila ada kedai makan menyajikan sajian istimewa ini. Asalnya, nasi buluh adalah masakan tradisional masyarakat kampung di kawasan pedalaman khususnya Orang Asli di Perak dan Kedah.

Terletak di persimpangan Lorong Sungai Dua berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Restoran Nasi Bamboo menyajikan hidangan tersendiri yang kini semakin mendapat perhatian ramai.

Pemiliknya, Khairul Adzhar Darus, 51, bersama rakannya, Mohd Khairi Haron, 50, berganding bahu membuka restoran itu pada Oktober lalu dan menu masakan tradisional itu terus mendapat sambutan luar biasa tidak saja dalam kalangan masyarakat tempatan, pelancong asing juga.

Khairul Adzhar berkata, nasi buluh disajikan dengan pelbagai lauk-pauk tradisional yang enak dengan kadar harga berpatutan.

Menurutnya, prosedur menanak nasi menggunakan buluh hampir sama dengan lemang, cuma ia tidak mengandungi santan, hanya beras dan daun lerek serta dibungkus mengikut kesesuaian saiz batang buluh.

“Ia perlu dibiarkan mempunyai ruang kerana apabila nasi masak, ia akan mengembang menjadi seperti nasi himpit dibalut dengan daun lerek dan dikukus dalam ketuhar khas selama 50 minit.

“Keistimewaan nasi buluh ini adalah ia kurang kanji, sekali gus sesuai buat semua golongan khususnya pesakit kencing manis. Bau nasi yang ditanak menggunakan daun lerek dan buluh membangkitkan aroma menyelerakan apatah lagi ia dihidang dengan pelbagai set lauk pauk tradisional,” katanya.

Khairul Adzhar berkata, sajian unik semakin mendapat perhatian pelanggan dan mereka menjual kira-kira 200 nasi buluh sehari.

Antara hidangan lauk popular termasuk ikan bawal, kambing panggang, ayam, burung puyuh, ikan kembung, sembilang, keli, udang bersama gulai serta ulam-ulaman dan sambal belacan.

“Bagi set ikan bawal, harga ditawarkan mengikut saiz dan berat bermula dari RM4.50 untuk 100 gram, manakala set ayam hanya RM6.50 dan burung puyuh pula RM8 setiap satu.

“Kami juga menyediakan hidangan set kambing panggang berharga RM13 setiap satu manakala hidangan ikan lain mempunyai lebih sembilan jenis masakan yang dapat memenuhi selera pelanggan,” katanya.

Khairul Adzhar berkata, mereka menjalinkan kerjasama dengan pemancing khususnya berhampiran Jambatan Pulau Pinang yang menjual terus hasil tangkapan mereka ke restorannya yang dibuka mulai jam 3 petang hingga 11 malam.

Katanya, situasi itu membolehkan pelanggan menikmati hidangan ikan segar pada kadar harga berpatutan apabila menjamu selera di restoran berkenaan dan jelas, keunikan nasi buluh mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:14 AM