Shayyum Hamdan
metahad@hmetro.com.my

Vietnam antara syurga beli-belah buat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan produk seperti telekung mahupun hijab.

Sebaliknya penulis dan dua kenalan lebih gemar meneroka wilayah utara negara itu yang dipanggil Da Lat dengan menempuh kira-kira tujuh jam pemanduan dari kota Ho Chi Minh.

Kalau di Malaysia, Da Lat umpama tanah tinggi subur seperti Cameron Highlands atau Kundasang di Sabah. Seperti dua lokasi itu, peranan Da Lat sangat besar dalam industri pertanian apabila menjadi pembekal utama produk buah-buahan dan bunga-bungaan yang berkualiti tinggi di pasaran kota besar Vietnam.

Tidak hairanlah pemandangan menuju ke kawasan tanah tinggi berkenaan melewati deretan pokok pain yang kehijauan. Antara pengalaman menyeronokkan yang lain ialah kedinginan kabus dan angin gunung membuatkan kami menikmati suasana dingin seperti berada pada penghujung musim luruh di negara empat musim.

Cabaran untuk kawasan Da Lat, ia daerah asing buat pelancong seperti penulis. Begitu juga pemandu pelancong tempatan, kawasan tanah tinggi bukanlah produk pelancongan yang biasa ditawarkan buat pelancong Malaysia.


STESEN kereta api Da Lat antara bangunan bersejarah yang unik.

Secara jujurnya kami adalah pelanggan pertamanya yang meminta untuk dibawa ke lokasi berkenaan berdasarkan atur cara olahan kami sendiri lepas dirujuk pada laman blog rakan kembara beg galas lain. Kami ingin mengunjungi 13 kawasan tarikan pelancongan di sini tetapi hanya enam saja sempat dilawati.

Saranan penulis kepada mereka yang kali pertama menuju ke kawasan jauh dari pusat bandar ialah guna khidmat pemandu pelancong tempatan. Atas faktor jarak yang jauh dari pusat bandar seperti Da Lat, ada kemungkinan penduduknya kurang menguasai bahasa asing.

Bagi mengelakkan masalah komunikasi selain melancarkan perjalanan, kami menyewa kenderaan dan khidmat pemandu pelancong dengan kos kira-kira RM1,800 sepanjang tempoh lima hari empat malam berada di Vietnam.


MENGAMBIL peluang untuk merakam foto di depan lokomotif.

Antara lokasi menarik yang kami lawati ialah daerah Lam Dong yang terkenal dengan keindahan air terjun Pongour dan apabila mendekati kawasan Da Lat, kami singgah menikmati pemandangan air terjun Datanla pula. Pencinta alam tentu tertawan dengan kejernihan air sungai, selain pemandangan sekitar yang menyejukkan mata.

Tidak lupa tarikan di sini ialah suasana atau pemandangan hutan pokok pain termasuklah Lang Biang Peak membuatkan persekitaran seolah-olah menuju ke kawasan pergunungan yang biasa kita lihat di Australia dan New Zealand. Setiap kali kami lihat ada lokasi menarik untuk bergambar, kami tidak akan lepaskan peluang untuk berhenti dan menikmati pemandangan sekitarnya.

Di kawasan hutan pokok pain, pemandu pelancong membawa kami ke puncak tinjau untuk melihat pemandangan seluruh pekan Da Lat.

Sememangnya kami terpesona sepanjang melewati kawasan ini sehinggalah kami tiba di pusat penginapan kami iaitu Hotel Hoang Minh Chau. Hotel ini boleh dikatakan mewah bagi pekan kecil seperti Da Lat. Kami cari bilik yang boleh memuatkan tiga orang dengan selesa. Hotel yang kami rasakan agak mewah itu disewa dengan kadar RM150 semalam.


PEMANDANGAN indah penulis berlatarbelakangkan air terjun Pongour.

Menariknya kawasan hotel kami strategik untuk ke kawasan tarikan sekitar Da Lat seperti pasar malam Da Lat, kawasan bunga hydrangea dan stesen kereta api Da Lat yang juga antara kemudahan pengangkutan utama ke pusat bandar satu ketika dulu, selain menjadi bangunan bersejarah mesti dilawati.

Mengenai cara hidup masyarakat tempatan, kenderaan utama di sini ialah motosikal. Gaya hidup mereka sederhana selain pemakaian mereka lebih nampak kedesaan. Selain itu, disebabkan tanah tinggi, rata-rata mengenakan baju panas dan jaket ‘bubble’ untuk keselesaan.

Dalam perjalanan pulang ke Ho Chi Minh, kami singgah di wilayah Mui Ne. Tentu saja pemandangan di perkampungan nelayan ini jauh berbeza dengan Da Lat.

Uniknya di sini ialah tebing laut dipanggil Fairy Stream iaitu hakisan tanah liat terbentuk semula jadi. Disebabkan kawasan ini perkampungan nelayan, kami berpeluang menemui restoran halal iaitu Mughal House Indian Restaurant yang menyajikan makanan laut ketika makan malam.


RUPA tebing di sepanjang Fairy Stream yang unik.

Apabila berada di sini, satu pemandangan yang tidak harus dilepaskan ialah sewaktu senja. Bersedialah untuk menatapi keindahan tatkala matahari terbenam di pantai Bai Da Ong Bia, selain cuba meluncur di Gumuk Merah Mui Ne (Red Sand Dunes Mui Ne). Peminat aktiviti ekstrem pula boleh menaiki ATV di Gumuk Putih (White Sand Dunes) yang pantas menuruni lereng pasir curam.


PENULIS bersama rakan pengembara di Gumuk Putih Mui Ne.

Kami meninggalkan Mui Ne lebih awal daripada perancangan iaitu sebelum jam 5.30 pagi. Difahamkan tidak lama kemudian, kawasan itu dilanda ribut teruk sehingga menjejaskan aktiviti bandar kecil itu. Kami juga bertuah kerana menerima pelawaan pemandu pelancong melawat kampungnya iaitu perkampungan Islam di Champa.


TERUJA bermain gelungsur di Gumuk Merah Mui Ne.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 4:45 AM