KETINGGIAN mencecah 30 meter.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Sebelah tangan menarik tali yang berpusat pada takal bertujuan membawa beban badan ke atas, manakala sebelah kaki yang dipakaikan ‘foot ascender’ perlu melakukan pergerakan menolak bagi memastikan proses memanjat pokok menjadi lebih mudah.

Memerlukan kekuatan jasmani tangan dan kaki, sukan lasak memanjat pokok ini antara aktiviti riadah yang memiliki pengikut tersendiri.

Inspirasi daripada kerja memanjat termasuk menebang dan mengambil biji benih di atas pokok, sukan ini mula dipopularkan dalam kalangan masyarakat tempatan bermula awal 2000.

Atlet wanita sukan ini, Noorezkey Zulkifli, 24, berkata, sukan memanjat pokok bukan saja fokus pada aktiviti mengeluarkan peluh, ia juga mempromosikan elemen penjagaan alam semula jadi.

“Sukan memanjat pokok ini menitikberatkan isu penjagaan pokok. Sebagai permulaan, kita perlu mempelajari dan mengenal pasti jenis pokok yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini.

“Ini kerana setiap jenis pokok memiliki sifat dan kemampatan isi padu batang serta dahan tersendiri. Contohnya, pokok hujan-hujan atau saintifiknya, Albizia saman memiliki kekuatan untuk menampung beban.

“Isi padu pokok hujan-hujan lebih mampat sama ada di bahagian batang mahupun dahan, jadi ia sesuai dijadikan tempat berpaut bagi sukan ini.

“Selain itu, pemilihan persekitaran yang selamat seperti jauh daripada kabel elektrik atau potensi dahan untuk patah perlu diutamakan bagi mengelakkan kemalangan.

“Apabila peminat sukan ini mula mempelajari asas, mereka juga diterapkan dengan ilmu penjagaan pokok, sekali gus membentuk kesedaran dan rasa cinta kepada alam semula jadi,” katanya ketika ditemui.


SUKAN ini mendidik rasa cinta menghargai alam.

Jelas Pengurus Majlis Awan Adventure ini lagi, berbekalkan ilmu dan kemahiran, penggemar sukan ini dapat memelihara ‘kesihatan’ pokok dengan mengurangkan kecederaan pada batang mahupun dahan yang sihat.

Mengulas aspek kecergasan, Noorezekey menyifatkan aktiviti memanjat pokok adalah sukan berisiko rendah, namun ia menggunakan sumber tenaga yang tinggi kerana sukan ini berbentuk pergerakan tubuh dinamik.

Pergerakan tubuh dinamik ini membabitkan pergerakan badan secara menyeluruh terutama pada tangan dan kaki, sekali gus membentuk otot di kawasan berkenaan.

Diminati golongan berusia antara 30 hingga 50-an, Noorezkey mengakui, sukan ini tidak menetapkan syarat penyertaan, sebaliknya ia bergantung pada ketahanan dan minat individu.

Bakal mewakili Malaysia bagi kategori wanita terbuka kejohanan Singapore Tree Climbing Championship 2018, beliau berkata dia mula meminati sukan dipopularkan Peter Jenkins ini sejak empat tahun lalu.

“Ketika itu Malaysia Tree Climbing Road Tour diadakan di Melaka dan saya sekadar mencuba aktiviti yang disediakan sepanjang program berkenaan.

“Tertarik dengan keunikan sukan ini, saya menceburkan diri secara serius dalam sukan ini. Boleh dikatakan, saya satu-satunya atlet wanita sukan memanjat pokok yang mewakili Malaysia dalam acara ini.

“Selain unik dan mencabar, saya menikmati keseronokan melakukan aktiviti ini,” kata wanita berasal dari Sabah ini.


PENTINGKAN aspek keselamatan.

Ditemui di Festival Belia Selangor 2017, Noorezkey juga berkongsi teknik asas sukan memanjat pokok iaitu teknik tali berkembar dan teknik tali satu yang menekankan aspek keselamatan pemanjat.

Bagi teknik tali berkembar, penggunaan peralatan lebih banyak berbanding teknik tali satu seperti ‘hitch climber pulley’, ‘carabinar’ (crab), ‘eye prussik’, ‘foot ascender’ dan ‘harness’ (abah-abah keselamatan).

Menggunakan tali semi-sintetik yang mengurangkan risiko henjutan dan hentakan, teknik tali berkembar memiliki dua tali utama, iaitu tali utama berfungsi meletakkan beban, manakala ‘working rope’ untuk menarik beban ke atas.

Bagi teknik satu tali pula, peralatan lebih terhad seperti ‘yoyo rad’, ‘carabinar’, ‘hand ascender’, ‘foot tape’ dan abah-abah.

Jelas Noorezkey, selain teknik memanjat, teknik turun dari pokok juga penting untuk mengelakkan kecederaan kepada pemanjat.

Berkongsi ketinggian pokok bagi sukan ini, selalunya sebagai permulaan pemanjat amatur, ketinggian hanya pada 15 meter hingga 30 meter.


CIPTA keseronokan menerusi sukan memanjat pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 7:55 AM