ISTANA Neuschwanstein dibina Raja Ludwig II sebagai tempat kediaman terhormat.
Nor Aziah Sharif
noraziasharif@hmetro.com.my

Menemani anak yang ada urusan di Munich, Jerman membuka peluang kepada penulis dan keluarga menaiki tren dari Augsburg di Bavaria menuju ke bandar terkenal itu. Perasaan cukup teruja apabila tiba di Stuttgart, bandar asal syarikat pembuat kapal terbang Airbus walaupun hanya untuk pertukaran tren. Bagaimanapun, tiada peluang meninjau bandar ini kerana bimbang terlepas tren ke Munich.

Suasana di stesen tren Munich memang meriah. Deretan kedai di sini tidak sekadar menjual pakaian, kasut, alat solek, kek dan coklat, malah barang hiasan rumah, peralatan dapur dan pinggan mangkuk berjenama juga ada. Manusia pula bertali arus. Pendek kata kedai di sini tidak pernah sunyi daripada kunjungan.

Namun, dalam kerancakan pada waktu siang itu, kedai di Munich tutup pada jam 8 malam, kecuali kedai menjual makanan. Tentu anda menjangka kota ini menjadi sunyi sepi apabila kedai menamatkan operasi hariannya dan urusan jual beli begitu cepat.

Untuk menyelesaikan urusan anak, kami juga tidak sempat berjalan-jalan di Munich kerana mengejar masa. Kalau boleh, kami mahu tiba di daerah Hohenschwangau yang jauh di pedalaman untuk melihat istana bersejarah sebelum hari gelap terutama pada musim luruh.

Bagaimanapun, anak menenangkan hati, katanya, kami akan ke sini lagi untuk merasai sendiri suasana malam di kota Munich. Sebenarnya kebolehan berbahasa Jerman adalah satu kelebihan jika berada di negara ini kerana rakyatnya keberatan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Segala papan penerangan dalam bahasa Jerman dan sukar sekiranya anda mahu melancong sendiri. Penulis bernasib baik kerana anak boleh berbahasa Jerman dan tahu jadual perjalanan tren. Jadi segala-galanya lancar. Kemungkinan perjalanan percutian kami ke Jerman berdepan dengan sedikit cabaran jika tiada sesiapa yang boleh berbahasa Jerman.

Pengetahuan berbahasa Jerman juga memudahkan perjalanan di Eropah kerana ia digunakan secara meluas di sebahagian besar negara di benua ini seperti di Switzerland, Itali dan Austria. Bahasa Inggeris banyak mencedok daripada bahasa Jerman dan perbezaan hanya pada ejaan.


PUSAT bandar Munich yang dikunjungi penulis sebelum menaiki tren ke kawasan bersalji di Bavaria.

Sempat juga kami ‘menyibuk’ dan menjiwai suasana pagi hari bekerja. Kami sama-sama bergerak pantas mengejar tren dengan penduduk tempatan yang berpusu-pusu ke tempat kerja. Rakyat Jerman yang sangat mementingkan ketepatan awal keluar awal pagi untuk ke tempat kerja.

Dari dalam tren penulis melihat banyak industri berderetan sepanjang laluan tren. Saya menjangka banyak peluang pekerjaan di Jerman dengan kereta bertali arus menyusuri lebuh raya dan menunggu barisan masuk ke bandar di setiap laluan keluar.

Beratus-ratus treler menyusuri lebuh raya Jerman yang saling berhubung antara negara Kesatuan Eropah. Pada pandangan mata kasar ekonomi Jerman dan negara Kesatuan Eropah sangat makmur dan dengan itu, saya yakin banyak pekerjaan disediakan.

Sesiapa pun pada kedudukan taraf mana-mana ekonomi boleh hidup di Jerman. Sebagai contoh sekiranya anda tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak ke sesuatu tempat, anda boleh menggunakan perkhidmatan tren hanya dengan sekali bayar ke mana-mana destinasi beberapa kali sehari. Bayaran ini termasuk bas dan tram.

Sekiranya anda hanya mempunyai basikal juga anda boleh bebas bergerak ke seluruh Eropah kerana boleh membawa basikal dalam tren. Selain laluan sendiri di jalan raya, dalam tren juga disediakan tempat khas untuk meletakkan basikal. Perjalanan tren bersilih ganti. Ada tren laju dan tren berhenti-henti bersambung dengan tram yang melingkari pusat bandar dan kawasan perumahan.

Bagi orang yang mampu berkereta mereka boleh memilikinya untuk lebih selesa ke tempat kerja dan hidup di luar kota. Barang makanan harian dijual di pasar raya tidak mahal dan sebagai contoh, sekilo garam dijual 25 sen euro. Saya berbelanja di pasar raya kerana perlu masak sepanjang berada di Jerman. Saya hanya mengeluarkan sekitar 23 euro pada sekali sesi berbelanja. Bahan masakan yang dibeli boleh dimasak untuk makan empat orang bagi tempoh tiga hari.


HOTEL, kafe dan deretan kedai menjual cenderahati di kaki bukit Hohenschwangau di Fussen, Bavaria, Jerman

Hamparan salji musim luruh

Selesai urusan di Munich, kami kembali ke stesen tren untuk langsung ke Hohenschwangau. Kami mengejar masa untuk ke Hohenschwangau berdekatan Fussen, Bavaria kerana bimbang hari cepat gelap disebabkan musim luruh. Tujuan kami ke sini untuk melihat peninggalan istana lama iaitu Schloss Neuschwanstein di Schones Bayern.

Dari stesen di Munich kami menaiki tren untuk ke Hohenschwangau. Kami bertukar tren sebelum meneruskan perjalanan. Di Jerman semua tempat saling berhubung dengan sistem pengangkutan awam kelas dunia. Contohnya dari pusat bandar Munich boleh terus ke bandar lain di kawasan kaki banjaran Alps.

Tren yang saya naiki melepasi daerah Marktoberdorf dan dari dalam tren sedikit demi sedikit kami dihidangkan dengan pemandangan putih. Ya, salji pada musim luruh! Sebaik melepasi daerah Marktoberdorf, kami memang berada di atas hamparan salji.

Suasana semakin sejuk dan salji yang menghias pokok pain semakin tebal serta lebat tatkala tren yang membawa kami memasuki daerah Lengenwang. Walaupun Lengenwang jauh dari kota tapi ada perusahaan industri di tengah-tengah rumah penduduk yang menyediakan pekerjaan untuk masyarakat setempat.


PEMANDANGAN perumahan penduduk di Lengenwang.

Sebaik tren memasuki daerah Seeg di Felben, salji semakin lebat dan semua kelihatan putih dilapisi salji. Kami turun di sini dan menaiki bas menuju ke Hohenschwangau. Sampai di Hohenschwangau keadaan sangat sejuk dan pihak berkuasa tempatan sudah membersihkan jalan raya dengan menolak salji ke tepi untuk memudahkan pergerakan kenderaan.

Saya dan keluarga berjalan ke istana di puncak bukit. Penat juga menapak selama 20 minit dalam keadaan sejuk untuk tiba ke pintu istana.

Sejarah istana kurun ke-19 dipertanggungjawab pembinaannya kepada Richard Wagner oleh Raja Ludwig II sebagai tempat kediaman terhormat. Raja Ludwig menanggung sendiri kos pembinaan istana dengan membuat pinjaman berbanding menggunakan dana awam pihak berkuasa Bavaria.

Mahligai itu menjadi tempat tinggal Raja Ludwig II sehingga dia meninggal dunia pada 1886. Ia dibuka kepada orang awam tidak lama selepas kematiannya. Sejak itu, 61 juta pengunjung melawat Istana Neuschwanstein. Lebih 1.3 juta melawatnya setiap tahun dan pada musim panas, istana itu menerima kira-kira 6,000 pengunjung setiap hari.

Filem Chitty Chitty Bang Bang, The Great Escape dan Disneyland’s Sleeping Beauty Castle menjalankan penggambaran di istana ini. Jam 5 petang keadaan mula gelap dan kami menaiki bas dari Hohenschwangau untuk ke stesen tren kembali ke Munich. Kami berhenti sejenak di kafe menikmati minuman coklat panas dan skon. Bagi mereka yang ingin menghabiskan percutian di sini, banyak hotel penginapan disediakan.


ORANG ramai berjalan di hadapan deretan hotel selepas turun daripada melawat Istana Neuschwanstein.

Pamer jualan waktu malam

Tren yang kami naiki berhenti di stesen bawah tanah Munich dari tempat kami naik di Seeg, Felben. Penulis menjangkakan keadaan sunyi tetapi sangkaan itu meleset kerana suasana tetap meriah walaupun banyak kedai sudah ditutup.

Ramai orang berjalan di deretan kedai untuk bersiar-siar menikmati keindahan lampu pada waktu malam. Keadaan sebegini diambil kesempatan pemilik perniagaan, sebelum menutup kedai mereka sebenarnya sudah membuat persediaan untuk operasi esok hari.

Cara yang digunakan ialah menghiasi tingkap kaca dengan barang jualan mereka. Barang dipamer disusun cantik untuk menarik kedatangan pengunjung termasuklah di pintu kedai.

Kedai coklat dengan hiasan yang menyelerakan, kedai peralatan sukan, pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak serta kedai kasut pelbagai jenama juga mempamerkan kreativiti masing-masing, termasuklah tanda harga yang sengaja diletakkan di bawah sinaran lampu terang-benderang.


PENULIS ketika tiba di kawasan kaki bukit Hohenschwangau di Fussen, Bavaria.

Ini bermakna pembeli boleh membuat pilihana barangan yang dikehendaki dengan melihat pada waktu malam dan sekiranya berkenan boleh mendapatkannya keesokan harinya. Boleh dikatakan semua kedai menggunakan kaedah mempamerkan jualan pada waktu malam bagi memberi kesempatan kepada pembeli berjalan santai melihat pameran dan hiasan barangan kedai masing-masing.

Kaedah ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa khususnya bagi pelancong yang hanya singgah sekejap di bandar ini. Strategi bijak ini tidak saja memudahkan pemilik perniagaan, bahkan pelanggan kerana tidak perlu berlegar-legar lama di dalam kedai mencari barangan untuk dibawa pulang!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 8:07 AM