RUANG untuk pelanggan membuat rawatan.
ANTARA pakaian turut dijual di butiknya.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Hampir lima tahun berjauhan bukan perkara mudah bagi Umi Kalsum Yaakub, 41, dan Mohd Ali Alias, 41.

Semuanya dilalui bagi mencari nafkah membesarkan lapan anak yang masih bersekolah.

Mohd Ali yang ketika itu bekerja sebagai juruteknik minyak dan gas di Emiriah Arab Bersatu hanya balik tiga bulan sekali bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.

Memang agak ‘drama’ kehidupan mereka kerana ketika itu Umi Kalsum sedang hamil anak kelapan mereka. Ketika itu dialah ibu dan dialah bapa kepada tujuh anaknya.

“Waktu itu hanya Allah yang tahu bagaimana kesusahan saya membahagikan masa di antara kerja dan anak. Bayangkanlah ketika itu saya menguruskan butik dan tujuh anak yang masih bersekolah.

“Mujur keluarga kedua-dua belah pihak memberi sokongan padu membolehkan saya terus berdiri hingga ke hari ini.

“Disebabkan itu juga, selepas kelahiran anak kelapan suami mengambil keputusan berhenti kerja walaupun ketika itu dia mendapat peluang yang lebih baik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut pemilik butik Sheniel Beauty & Salun di Semenyih ini, kini dia berasa lebih selamat dan yakin selepas suaminya meninggalkan kerjaya untuk berada di samping keluarga.

“Alhamdulillah, kini kami sekeluarga menguruskan salun ini sepenuhnya. Pendek kata ia seperti perniagaan keluarga kerana sepupu dan saudara turut menguruskan bersama.

“Di butik Sheniel Beauty & Salun kami menyediakan perkhidmatan dari hujung rambut hingga hujung kaki termasuk bekam, urutan, rawatan muka dan sebagainya.

“Malah semua anak kami mempunyai peranan masing-masing. Insya-Allah jika ada rezeki, kami ingin membuka kafe pula kerana salah seorang anak mempunyai minat dan bakat dalam menghasilkan produk bakeri,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan penghantaran bunga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 2:48 AM